Mariem Nabatanzi bersama sebahagian daripada anaknya di kawasan rumah mereka di Mukono, timur Kampala, Uganda. Kredit: Agensi

SEMUA pasangan berharap beroleh anak setelah berkahwin, tetapi Allah tidak memberi rezeki. Ada yang menunggu beberapa tahun sebelum dikurniakan anak, ada pula yang terus tidak menimang cahaya mata.

Namun lain halnya dengan seorang wanita di Kampala, Uganda, Mariem Nabatanzi, 40 tahun. Memetik New York Post, dia tidak mahu beranak lagi kerana sudah melahirkan 44 orang anak sejak berkahwin pada usia 12 tahun. Dia juga pemegang rekod mempunyai anak paling ramai di dunia.

Enam anaknya meninggal dunia. Suaminya pula meninggalkannya dua setengah tahun lalu dengan membawa lari semua wang keluarga. Tinggallah Mariem berseorangan mengharungi sengsara membesarkan 38 anak, iaitu 20 lelaki dan 18 perempuan.

Memelihara dan memberi makan anak yang begitu ramai, dan tinggal dalam sebuah rumah kecil di Mukono, timur Kampala, sangat membebankan dirinya sebagai ibu tunggal. Kehidupan begitu perit dan dia terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk mendapat wang menyara keluarga.

Anak-anak yang sudah remaja membantu bekerja menambah pendapatan keluarga, juga membantu melakukan kerja-kerja membasuh dan memasak. Kerana itu ramai yang tercicir dalam pelajaran. Bukan sahaja untuk menolong emak, tetapi kerana tidak mempunyai wang untuk membiayai persekolahan.

Anak sulungnya, Ivan Kibuka, berusia 23 tahun, antara yang banyak membantu kerana sangat kasihan dengan emaknya. Kerana ingin membantu emak, ditambah dengan ketiadaan wang, dia tidak bersekolah. Begitu juga nasib ramai adik beradik yang lain.

Dengan kepayahan hidup kais pagi makan pagi kais petang petang, Mariem tidak mahu melahirkan anak kerana yang ada sudah terlalu ramai. Dia tidak mampu menjaga dan menyediakan makanan jika anak bertambah sedangkan yang ada sudah cukup berat untuknya menanggung.

Namun dia berhadapan dengan masalah. Doktor telah memberi amaran kepadanya seandainya dia tidak melahirkan anak, dia akan sakit. Mariem berada di persimpangan, sakit atau beranak lagi. Jika terpaksa beranak lagi, perlu berkahwin lain pula.

Doktor memberitahu, Mariem akan menghadapi sakit teruk jika berhenti beranak. Lebih merumitkan, doktor memberitahu, tiada kaedah perancangan keluarga berkesan yang boleh dilakukan untuk mencegah Mariem daripada melahirkan anak.

Rekod melahirkan anak Mariem menunjukkan tahap kesuburan dirinya yang tinggi. Dia melahirkan empat kembar dua, lima kembar tiga dan lima kembar empat. Dia menyedari dirinya tidak seperti wanita lain, lalu pergi ke klinik kesihatan untuk menjalani pemeriksaan setelah berturut-turut memperoleh anak kembar.

Pada pemeriksaan ini, doktor menjelaskan kepada Mariem, dia mempunyai ovari yang luar biasa besarnya atau hyperevolusi. Rawatan bagi masalah ini ada, namun sukar didapati di kawasan luar bandar Uganda.

Doktor juga menasihatinya tidak memakan pil kerana berbahaya pada kesihatan. Kerana itu dia beterusan hamil sehinggalah suaminya meninggalkannya. Ketika itu dia melahirkan anak kembar kali ke enam. Namun salah seorang pasangan kembar itu meninggal.

Menurut doktor, kes kesuburan melampau pada Mariem mungkin faktor keturunan. Hyperevolusi berbubung kait dengan penghasilan atau pengeluaran beberapa telur pada satu kitaran. Gejala ini menyebabkan meningkatnya peluang bagi kelahiran kembar. Apakah nasib diri Mariem selepas ini?

— BebasNews

Leave a Reply