Amrul Nizar Anuar bersama Kid yang memberi maklum balas segera terhadap kenyataan Afjets sebelum ini.

SUSULAN kenyataan media pada 20 Jun 2022, Afjets Sdn. Bhd., dihubungi oleh dua anggota Search iaitu Hamzah Mohd Taib (Kid) dan Noordin Mohd Taib (Din) untuk berbincang mengenai tuntutan terhadap ganti rugi atas pembatalan Konsert Search 35 yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2017.

Maklum balas positif dan segera daripada dua bersaudara itu membuktikan bahawa mereka bersikap profesional dan bertanggungjawab ingin menjaga nama baik kumpulan Search.

“Terima kasih kepada Kid dan Din kerana memberi maklum balas segera terhadap tuntutan daripada Afjets.

“Jelas sekali dua anggota Search itu bersikap profesional kerana mereka mahu menjaga nama baik kumpulan legenda tersebut. Sikap mereka itu patut dipuji,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Afjets, Amrul Nizar Anuar.

Amrul Nizar Anuar dan Din, harap segala permasalahan dapat diselesaikan dengan cara baik.

Jelas Amrul Nizar, Afjets masih meneruskan perbincangan dengan Kid dan Din secara langsung, tanpa melibatkan mana-mana pihak ketiga.

“Kami berharap perkara yang telah lama tertangguh ini dapat diselesaikan segera. Kami terbuka dan bersedia memenuhi syarat dan terma, yang sedang dibincang bersama dengan lanjut. Afjets yakin isu yang tertangguh ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Afjets juga ingin menegaskan bahawa sehingga ini masih belum menerima sebarang maklum balas daripada dua lagi bekas anggota Search, Suhaimi Abd Rahman (Amy) dan Nasir Daud, atau melalui wakil atau peguam mereka.” katanya.

Afjets juga menggesa semua pihak yang tidak berkenaan, termasuk yang mendakwa kononnya menguruskan kumpulan Search, supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak berasas yang menimbulkan kekeliruan kepada semua pihak.

Syarikat itu juga menyeru semua pihak agar menghentikan sebarang spekulasi yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Tuntutan ini bukan baru dimulakan selepas dua konsert berasingan baru-baru ini yang dijayakan oleh anggota dan bekas anggota kumpulan muzik Search, yang kini bergerak secara berasingan.

“Afjets hanya meneruskan tindakan mahkamah yang sudah dimulakan pada Oktober 2016 dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2017.

“Kami hanya ingin menuntut hak kami sebagai sebuah syarikat yang dirugikan dalam urusan yang dibatalkan oleh pihak yang berurusan dengannya lima tahun lalu,” jelasnya.

— BebasNews

Leave a Reply