Dr Mohammad Hanis Osman

Kuala Lumpur — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengumumkan pelantikan Dr Mohammad Hanis Osman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat berkuat kuasa pada hari ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pelantikan itu adalah berdasarkan pengalaman beliau selama lebih 26 tahun dalam sektor perbankan dan kewangan Islam yang mana beliau memegang pelbagai peranan dalam bidang perbendaharaan dan pelaburan, perbankan runcit serta perbankan perniagaan.

“Menerusi kepimpinan beliau, prestasi Bank Rakyat dilihat akan terus kukuh dan mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, Lembaga Pengarah mengalu-alukan pelantikan Dr Mohammad Hanis sebagai CEO baharu berikutan prestasi yang ditunjukkan beliau ketika menggalas tugas sebagai pemangku CEO sejak 1 April lalu.

“Menerusi pengalaman luasnya, beliau akan dapat menerajui Bank Rakyat dalam fasa pertumbuhan seterusnya berteraskan rangka tindakan pelan strategik BR25 (Bank Rakyat 2025) seperti digitalisasi, kelestarian, kepimpinan Syariah dan pengalaman terbaik pelanggan,” katanya.

Dr Mohammad yang berkhidmat lebih 12 tahun di Bank Rakyat adalah pemegang Ijazah Doktor Falsafah (Ekonomi) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Islam Antarabangsa serta Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perakaunan dan Kewangan dari University of East London, United Kingdom.

Bank Rakyat yang ditubuhkan pada 28 September 1954 di bawah Ordinan Syarikat Kerjasama 1948, kini menjadi bank koperasi Islam terbesar di Malaysia dengan memiliki aset berjumlah RM115.06 bilion berakhir Disember 2021.

Sumber asal — https://www.hmetro.com.my/bisnes/2022/07/857462/dr-mohammad-hanis-dilantik-ceo-bank-rakyat

— BebasNews

Leave a Reply