SHAH ALAM — Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (UiTM) (KKUiTM) menjunjung kasih, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah menitahkan agar Persiaran Institut di Seksyen 1 yang menghubungkan bulatan di Seksyen 2 di sini dengan persimpangan Persiaran Kayangan di Seksyen 7 ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub.
Presidennya, Zulkifli Mohammed berkata, sesungguhnya ia satu pengiktirafan yang tinggi kepada semua warga UiTM.
“Allahyarham Tun Arshad boleh dikatakan arkitek yang telah membangunkan Institut Teknologi Mara (ITM) hingga menjadi UiTM dalam memastikan bangsa Melayu dan golongan Bumiputera mendapat pendidikan yang tertinggi yang boleh dicapai.
“Jasa dan sumbangan Allahyarham memang sangat tidak ternilai kepada dunia Pendidikan tinggi negara terutamanya UITM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media pada 23 Jun lalu melaporkan Sultan Sharafuddin menitahkan supaya nama Persiaran Institut, Seksyen 1 di sini ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub.
Allahyarham Tun Arshad, 93, menghembuskan nafas terakhirnya di KPJ Damansara Specialist Hospital pukul 2.06 pagi, 14 Jun lalu.
Zulkifli berkata, bukan sedikit graduan yang telah dilahirkan hasil daripada inovasi pendidikan beliau.
“Dengan pertukaran nama persiaran tersebut, warga UITM dan orang awam akan sentiasa mengingati dan mendoakan arwah yang sentiasa dekat di UiTM,” katanya. — BebasNews