KUALA LUMPUR — Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-259 hari ini dihadir Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Majlis itu telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Affendi Buang.

Majlis juga turut mendengar taklimat mengenai Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Perkara mengenai pelantikan-pelantikan turut pun dibincangkan iaitu pelantikan Timbalan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Pengerusi dan Ahli Dilantik Jawatankuasa bawah MKI, Hakim Mahkamah Khas.

Ini termasuk Ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), selain beberapa Kertas Makluman dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air termasuk juga mengenai calon-calon penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Tahun 2022 dan Peraturan-peraturan MKI 2022.

Mesyuarat itu diadakan di Istana Negara pada 29 dan 30 Jun 2022 dan dipengerusikan oleh Raja Perlis, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Pada hari pertama mesyuarat, semua raja-raja dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah berangkat hadir termasuk Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah manakala Sultan Kelantan diwakili oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra dan Sultan Johor diwakili oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku ldris Iskandar Sultan Ibrahim.

Pada hari kedua, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berangkat hadir dalam mesyuarat, diiringi oleh Ismail Sabri. — BebasNews

Leave a Reply