DATUK Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri mengalungi Malaysia pingat gangsa terjun 10 meter platform seirama Kejohanan Akuatik Dunia FINA (Persekutuan Renang Antarabangsa) Ke-19, 2022, semalam.
Pasangan penerjun wanita negara ini mencatat 298.68 mata untuk menaiki podium di Arena Danube, Budapest, Hungary berbanding pemenang pingat emas, Chen Yuxi/Quan Hongchan dari China, 368.40 mata.
Pandelela (gambar atas, kanan)/Dhabitah juga cuma kekurangan 0.72 mata dengan pasangan Amerika Syarikat, Delaney Schnelle/Katrina Young yang memenangi pingat perak dengan catatan 299.40 mata.
Chen, 16, dan Quan, 15, jugalah yang menghampakan Pandelela, 29, untuk hanya meraih gangsa dalam acara 10m platform individu, Isnin lalu ketika gandingan China itu menguasai penyudahan 1-2.
Olahragawati Kebangsaan tiga kali ini merakamkan 338.85 mata bagi acara individu itu, kekurangan 78.4 mata dengan Quan, juara Sukan Olimpik Tokyo 2021, juga dengan menewaskan pemenang peraknya, Chen.
Penerjun kelahiran Sarawak itu turut pernah membawa pulang pingat perak 10m platform seirama ketika bergandingan dengan Datuk Leong Mun Yee pada Kejohanan Dunia FINA 2019 di Gwangju, Korea Selatan.

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.