Keperluan harian naik harga.

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan tidak berpeluk tubuh dalam menghadapi isu kos sara hidup yang berlaku di seluruh dunia pada masa kini.

Menurutnya, pelbagai langkah dilaksanakan sama ada jangka pendek dan jangka panjang termasuk memberikan subsidi kepada penternak serta pemborong.

“Mengenai kos sara hidup, ini bukan berlaku di Malaysia, tetapi seluruh dunia. Kita Malaysia bukan berada di planet lain, kita dalam dunia sama dan saling berhubung berkaitan negara lain.

“Kita negara pengimport produk makanan. Contoh, ayam naik harga kerana bahan makanan daripada luar, kerana kita bukan pengeluar jagung dan kacang soya.

“Harga lain naik kerana fenomena global (apabila) dulu Covid-19, bila kita buka industri banjir besar dan selepas itu perang Rusia- Ukraine.

“Walaupun kerajaan tahu fenomena global, kerajaan tidak berdiam diri dan umum (langkah) jangka pendek, sederhana dan panjang (yang melibatkan kerjasama) kerajaan negeri, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa),” katanya ketika merasmikan Majlis Persidangan Perwakilan MTUC Kali Ke-42 di Auditorium Dewan Ungku Aziz, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya hari ini.

Jelasnya lagi, biarpun tidak berapa menyukai subsidi yang diperuntukkan sehingga RM700 juta, namun kerajaan tidak mempunyai pilihan.

Katanya lagi, ini kerana subsidi barangan makanan seperti ayam bukan sahaja boleh dinikmati penduduk tempatan, tetapi juga termasuk rakyat asing yang berada di negara ini.

“Pekerja Bangladesh, Rohingya dan tauke-tauke restoran besar beli serta makan ayam subsidi, (walhal) dari segi konsep subsidi untuk orang miskin dan rakyat kita.

“Minyak masak juga masih subsidi untuk kegunaan rumah dan bukan kegunaan restoran, jadi sebenarnya cukup (kerana) minyak masak diberi subsidi sebanyak 60 tan metrik berbanding 55 tan metrik (yang dianggarkan) kegunaan rakyat.

“Oleh itu, (kalau) tak cukup sebab ada penyelewengan, jadi sebab saya beritahu Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) gerakkan penguatkuasa,”jelasnya. — BebasNews

Leave a Reply