SHAH ALAM — Islamofobia merupakan isu yang semakin membarah dalam masyarakat dunia. Islamofobia merujuk kebencian terhadap agama Islam dengan melakukan keganasan, penghinaan serta menyentuh sensitiviti umat Islam.

Perkara ini menjadi lebih serius apabila ada golongan yang sengaja menggelarkan Islam sebagai militan, pengganas atau ekstremis dengan agenda sengaja mengelirukan serta bersifat prejudis terhadap Islam.

Oleh yang demikian, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan kempen ‘Hentikan Islamofobia’ bagi memerangi golongan yang memusuhi dan melancarkan serangan terhadap Islam di samping memberi kesedaran kepada masyarakat di dunia tentang keseriusan isu ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Azmi menegaskan bahawa seluruh umat Islam haruslah ‘buka mata’ dan lebih cakna bagi mempertahankan agama dari dihina.

Beliau menekankan tragedi hitam yang dialami oleh umat Islam di Kashmir di mana hampir keseluruhan mereka menjadi mangsa pembunuhan kejam dan keganasan oleh puak Islamofobia.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa  MAPIM telah menghantar maklumat mengenai kempen ini kepada hampir 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan dan rata-rata mereka menunjukkan respon positif menyokong kempen tersebut.

Cikgu Azmi turut memberitahu bahawa beliau akan berangkat ke Jakarta dalam masa terdekat bagi mengadakan pertemuan dengan rakan kongsi untuk membincangkan lebih lanjut tentang kempen ini.

Turut hadir dalam majlis pelancaran ini adalah Bekas Dekan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa dan Tamadun (ISTAC), Pengerusi Alliance of World Masjid in Defense of Islam, Dato’ Seri Ahmad Awang dan Sekretariat Pengerusi Majlis Ulama Asia, Dato’ Wira Abdul Ghani Samsudin.

Sumber asal — https://ummahtoday.com.my/mapim-lancar-kempen-perangi-islamofobia/

— BebasNews

Leave a Reply