Ismail Sabri - Foto wikipedia.

KUALA LUMPUR — Pandangan penganalisis politik pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman mengenai isu dalaman UMNO memperlihatkan parti itu kini berpecah kepada dua kem adalah tidak benar.

Pandangan tersebut seolah-olah satu daripada kem itu dikatakan menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan satu lagi kem menyokong kepemimpinan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Perdana Menteri.

Sehubungan dengan itu, Ismail Sabri hari ini menafikan dakwaan wujud dua kem dalam kepemimpinan parti berkenaan yang heboh diperkatakan susulan pendedahan Tajuddin selepas digugurkan selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Ahli Parlimen Bera itu,menegaskan hanya ada satu kumpulan yang menerajui kepemimpinan UMNO.

“Kem (dalam UMNO)? Mana ada kem. Hanya satu kem dalam UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Ke-42 hari ini.

Mengulas cadangan supaya beliau menjadi orang tengah mendamaikan pertelingkahan di antara Ahmad Zahid dan Tajuddin, Ismail Sabri menjelaskan, tidak timbul isu sedemikian untuk diperdebatkan.

“Tidak timbul isu sebab perkara itu (pertelingkahan Ahmad Zahid dan Tajuddin), saya ingat tiada siapa sudah bercakap soal itu lagi,” katanya. –BebasNews

Leave a Reply