Gambar hiasan - Foto blogspot.com

Perpecahan politik di kalangan umat Peribumi, Melayu dan Islam di Malaysia pada hari ini amat parah sekali keadaannya, berbanding kedudukan politik bukan Peribumi.

Usaha mewujudkan gabungan politik sesama mereka menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pula dihalang pelbagai karenah segelintir pemimpinnya yang kelihatan lebih mementingkan agenda peribadi, bukannya rakyat.

Tidak insafkah mereka, perpecahan ini akan membuka ruang adu-domba, persengketaan serta fitnah-memfitnah yang lebih luas dan boleh dieksploitasikan oleh pihak yang mahukan mereka semakin huru-hara menjelang PRU15?

Tidak sedarkah mereka keadaan yang semakin haru-biru ini telah menjejaskan sektor keselamatan politik, keselamatan sosioekonomi, keselamatan hidup rakyat jelata, dan keselamatan nasional Malaysia seluruhnya?

Sampai bila dan sejauh manakah fenomena ini harus berlaku, kenapa segelintir pemimpin tersebut terus memilih perpecahan yang hanya menguntungkan pihak lain, dan bagaimanakah kemelut ini boleh diatasi dengan segera?

Disebabkan segelintir pemimpin Peribumi seakan-akan terus mementingkan diri sendiri, rakyat perlu mendesak mereka menyingkirkan segala sengketa dengan serta-merta. Jika mereka enggan, berikan mereka kata-dua dengan sekeras-kerasnya dan sejujur-jujurnya.

Latarbelakang kepada kata-dua dan tuntutan di atas serta organisasi yang wajar menganjurkan jalan damai kepada persengketaan politik Peribumi ini; terkandung dalam artikel saya seperti berikut:

Satu, “Politik Peribumi-Melayu-Islam menjelang PRU15” terbitan Bebasnews.my, 27 Mei 2022.

Dua, “Gunakan kuasa undi secara strategik”, Bebasnews.my, 4 Jun 2022.

Tiga, “Peribumi induk kuasa politik Malaysia”, Bebasnews.my, 19 Jun 2022. Empat, “Peribumi jahil dalam mencaturkan kuasa politiknya?”, Bebasnews.my, 26 Jun 2022.

Beberapa pertubuhan akar-umbi telah secara prinsipnya mempersetujui usaha damai yang dicadangkan, dan hanya menunggu pihak manakah akan menganjurkannya dalam tempoh terdekat ini.

Mereka juga berharap, seluruh pemimpin parti politik Peribumi yang terbabit dengan karenah negatif, supaya mula menumpu ke arah usaha penyatuan. Memang PRU15 tidak boleh dimenangi hanya menerusi sokongan pengundi Peribumi, sebaliknya memerlukan sokongan semua kaum. Tetapi, bagaimanakah sokongan bukan Peribumi mahu dijana jika Peribumi terus bercakaran?

Lantas, seluruh punca persengketaan mesti di dikenalpasti, pihak yang mengendalikan penyatuan politik Peribumi mesti berwibawa tinggi, kumpulan yang perlukan penyatuan ini mesti dirundingi, kaedah penyatuannya mesti dipersetujui, dan keputusan penyatuannya mesti segera diperolehi.

Jangan takut untuk bersatu dan jangan tolak usaha penyatuan politik yang akan diusahakan. Bukakan hati untuk bersatu bagi mendapatkan penyelesaian yang kekal dan menguntungkan semua pihak.

Sesuatu persengketaan hendaklah dikendalikan secara profesional oleh pakar pengurusan konflik dan penyelesaian konflik untuk menghasilkan kebaikan demi negara dan rakyat jelata.

Ini kerana konflik adalah situasi di mana semua pihak yang terbabit mempersepsikan wujudnya ancaman, waimah hanya andaian atau ancaman yang benar-benar wujud.

Konflik yang muncul daripada perbezaan yang kecil atau besar; melibatkan nilai, idea, persepsi atau kehendak seseuatu pihak atau semua pihak. Hakikat ini serupa dalam konflik antara segolongan pemimpin politik Peribumi di Malaysia sekarang.

Konflik yang tidak segera ditangani, akan mencetuskan ancaman kepada kelangsungan dan kesejahteraan semua pihak terbabit. Konflik politik pula menjejaskan negara dan rakyat jelatanya.

Oleh itu, kendalikan persengketaan politik Peribumi di Malaysia secara terhormat, berhemah, bermaruah, dan berbudi-bahasa. Pihak yang mengendalikan urusan ini perlu menuntut semua pemimpin politik Peribumi mematuhi tata cara perdamaian ini.

Semua parti politik Peribumi mesti dituntut melakukan „gencatan senjata‟ serta memberhentikan apa jua agenda serang-menyerang di dalam parti sendiri atau terhadap parti-parti lainnya.

Seluruh elemen batu api, pengadu-domba dan pemecah-belah juga wajar dirayu untuk memberhentikan agenda perpecahan mereka demi Malaysia dan rakyat jelatanya.

Sama pentingnya, pelbagai media cetak, media elektronik dan media sosial wajar dipujuk dan diyakinkan untuk sama-sama mendukung misi di atas mulai sekarang.

Hakikatnya, tidak ada proses damai dan usaha penyatuan boleh dilaksanakan tanpa tuntutan di atas. Tidak ada jalan damai yang boleh dirintis dalam persekitaran suasana penuh kecelaruan.

Ini mungkin disifatkan tidak demokratik. Tetapi, inilah sahaja jalan yang terbuka ke arah perdamaian dan penyatuan politik Peribumi sebagai teras kepada demokrasi, perpaduan, kesejahteraan, kelangsungan, dan keselamatan nasional di Malaysia yang majmuk.

Namun, mana-mana pihak yang cuba menggagalkan usaha damai ini akan insaf jika ada proses libat-urus untuk mereka diberikan keinsafan bahawa segala-galanya adalah demi seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.  

Seluruh usaha di atas juga boleh memudahkan kemunculan permuafakatan rakyat yang selama ini mendesak diadakan „national reset‟ atau tindakan memperbetulkan kesilapan silam supaya selaras dengan tuntutan di zaman pasca-moden ini.

Rumusan kepada gagasan kerdil ini adalah seperti berikut.

Pertama, organisasi pengurusan dan penyelesaian konflik politik Peribumi ini perlu dibentuk segera oleh pihak yang prihatin. Seperti yang dicadangkan dalam empat tulisan sebelum ini, organisasi berkenaan wajar merangkumi kumpulan cendikiawan, ilmuan dan pakar pelbagai bidang yang relevan, supaya misinya dilaksanakan secara berwibawa, berhemah, bermaruah; sementara objektifnya pula beroleh kejayaan.

Kedua, organisasi tersebut wajar menuntut semua parti politik Peribumi melakukan „gencatan senjata‟ dan memberhentikan segala tindakan serang-menyerang sesama parti atau diantara semua parti yang terbabit.

Ketiga, seluruh elemen batu api, pengadu-domba dan pemecah-belah wajar dirayu untuk memberhentikan agenda perpecahan mereka demi Malaysia dan rakyat jelatanya.

Keempat, pelbagai media cetak, elektronik dan sosial wajar diyakinkan untuk turut mendukung misi di atas, juga demi Malaysia dan rakyat jelatanya.

Kelima, organisasi penganjur proses damai ini juga perlu mengadakan sesi libat-urus dengan pelbagai pertubuhan bukan Peribumi yang relevan, bagi menginsafan mereka bahawa segala-galanya adalah demi seluruh rakyat Malaysia semua keturunan dan agama.

— BebasNews

Leave a Reply