Noh Omar

SHAH ALAM — Menteri Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) menempelak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melabel kerajaan sebagai bangang dalam menangani isu kenaikan kos hidup rakyat.

Tan Sri Noh Omar menegaskan, kenyataan itu mencerminkan sikap Anwar yang tidak faham dengan proses pentadbiran kerajaan walaupun pernah menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

“Kerajaan hari ini telah mewujudkan pelbagai mekanisme untuk mengurangkan beban kos hidup rakyat termasuk memberi subsidi berbilion ringgit.

“Paling terbaharu Kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi untuk mengatasi masalah kenaikan kadar inflasi yang dijangka berlaku tidak lama lagi,”katanya selepas merasmikan Mesyuarat Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional (Kopenas)di Hotel Concorde hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan kerajaan sebagai “bangang” apabila hanya bertindak menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani harga barang termasuk ayam selepas enam bulan rakyat bergelut dengan kenaikan harga barang.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu sepatutnya boleh diadakan lebih awal sebelum kenaikan harga barang dan berusaha membendungnya lebih awal.

Mengulas lanjut Noh berkata, kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) dan Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan peningkatan kos makanan seperti ayam dan telur.

“Macam mana Anwar boleh kata kita lambat menangani isu kenaikan kos hidup rakyat. Adakah saya hendak katakan dia pula penipu dalam soal ini.

“Saya sendiri telah dua kali bermesyuarat dalam Naccol dengan Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin sama ada secara berdepan dan dalam talian semasa pandemik Covid-19 demi membincangkan kos hidup rakyat, katanya.

Beliau menambah, Anwar seakan hanya ingin mencari populariti atas isu berkenaan.

— BebasNews

Leave a Reply