MD. NASIR IBRAHIM

HARI ini di mana sahaja malah dalam sosial media para peminat filem Melayu tidak lelah bercakap mengenai kehebatan filem “Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan” bukan sahaja dari segi cerita dan pelbagai perkara mengenainya
malah yang lebih mengkagumkan tentang kutipan tiket filem berkenaan.

Betapa tidak sejak hari pertama ianya ditayangkan pada 23 Jun filem ini telah mencatatkan fenomena tersendiri apabila pada hari ke-11 tayangannya malam tadi (Ahad) ia mencatatkan kutipan tiket lebih RM44juta di pawagam seluruh Malaysia.

Ramai di luar sana yang masih belum menonton tertanya-tanya apakah istimewanya filem epik Melayu yang berlatarkan tahun 1892 dan suasana kehidupan orang Melayu ketika kolonial British yang menduduki tanah di Pahang dan mengaut hasil buminya serta mencampuri adat resam dan agama Islam.

Namun apa yang nyata setelah sekian lama masyarakat kita asyik disogokkan dengan filem Melayu versi mat salih, hari ini mereka dapat menonton filem Melayu yang sebenarnya!

Meskipun ada yang menegur tentang silatnya, pakaiannya tetapi apa yang membanggakan matlamat Mat Kilau bersama ayahnya, Tok Gajah dan para sahabatnya tidak mahu membiarkan kebiadapan British di Pahang berleluasa lalu bangkit menentang British agar tidak dijajah, sudah cukup menggamit orang ramai menonton dan menghayati seorang pemimpin berjiwa Melayu!

“MAT Kilau Kebangkitan Pahlawan” mencatatkan fenomena tersendiri sebagai filem epik Melayu yang mendapat kutipan paling tinggi walaupun baru 11 hari ditayangkan.

Bukan itu sahaja, malah dalam keghairahan segelintir mereka bercakap mengenai fenomena tersendiri yang dicatatkan oleh filem ini dari segi kutipan tiket yang mana dijangkakan boleh mencecah sehingga RM80juta pada minggu akhir, ada yang mempertikaikan apakah peranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi membela nasib produser dan dimanakah keadilan bagi mereka apabila ia menyentuh soal Duti Hiburan dan bayaran kepada pawagam.

Adalah difahamkan Malaysia mencatatkan Duti Hiburan paling tinggi iaitu sebanyak 25 peratus berbanding Indonesia, Brunei dan Thailand hanya 7 peratus.

Bukan itu sahaja, malah pembahagian antara produser dan pawagam juga amat membebankan yang mana pada minggu pertama pawagam dan penerbit mendapat 50 peratus daripada jumlah kutipan tiket.

Bagaimanapun khabarnya setiap minggu jumlah yang diterima pihak pawagam semakin meningkat sehingga membebankan produser.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Profesor Dr. Nasir Ibrahim ketika dihubungi semalam dan bertanya mengenai Duti Hiburan dan pembahagian antara produser dan pawagam, berkata;

“Melalui Dasar Perfileman Negara (DFN) baharu yang kini dalam proses penambahbaikan, FINAS bukan setakat membela nasib para penggiat seni malah kepentingan para produser juga turut kami beri perhatian.

“Melalui penambahbaikan itu nanti pihak produser akan membayar Duti Hiburan tidak sampai 10 peratus kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berbanding sejak sekian lama sebanyak 25 peratus.

“Bagaimanapun setakat ini kami masih menanti maklumbalas daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan penggiat seni.”

Sementara itu, apabila ditanya mengenai pembahagian kutipan tiket antara pawagam dan produser, Md. Nasir berkata;

“FINAS akan mengadakan satu mesyuarat pada 7 Julai ini dengan Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan Pemilik Pawagam untuk membincangkan agar produser dan pemilik pawagam mendapat pembahagian jualan tiket sama rata sebanyak 50 peratus bermula pada minggu pertama sehingga hari terakhir demi mencapai keputusan dan garis panduan yang lebih jelas dan adil.”

Menurut beliau sejak sekian lama pembahagian bagi kutipan tiket antara pemilik pawagam dan produser pada minggu pertama 50 peratus. Bagaimanapun pada minggu kedua pemilik pawagam (55 peratus) dan produser (45 peratus), minggu ketiga pemilik pawagam (60 peratus) dan produser (40 peratus) dan pada minggu keempat sehingga hari terakhir tayangan pemilik pawagam (65 peratus) dan produser hanya mendapat 35 peratus sahaja.

SYAMSUL Yusof menjelaskan sesuatu kepada Adi Putra sebelum memulakan penggambaran filem “Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.”

Menyentuh mengenai kejayaan filem “Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan” arahan Syamsul Yusof terbitan Studio Kembara yang dilakonkan oleh Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari, Yayan Ruhian, Datuk Rahim Razali, A. Galak dan Namron, Md. Nasir Ibrahim berkata;

“Saya bagi pihak FINAS bangga dengan kejayaan filem ini yang mendapat Dana Kandungan Digital (DKD) FINAS sebanyak RM1.5 juta dan Dana Pemasaran sebanyak RM300,000. Bukan itu sahaja, malah mereka juga telah melakukan proses suntingan di Studio Mixstage, Kompleks Studio Merdeka, FINAS.

“Prestasi memberangsangkan filem ini dengan kutipan pecah panggung dalam tempuh 11 hari melebihi RM44 juta malam tadi memberi sinar dan harapan kepada industri perfileman negara.

“Fenomena yang dicipta filem ini dan sambutan penonton bukan sahaja di Malaysia malah di Singapura dan Brunei membuktikan betapa kuatnya jenama filem tempatan yang mampu meraih kepercayaan penonton ke pawagam setelah dua tahun berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Bukan itu sahaja, malah ia membuktikan kekuatan cerita tempatan inspirasi daripada sejarah dan warisan mempunyai potensi besar untuk diangkat ke layar perak dan diterima penonton.”

SYAMSUL Yusof di set penggambaran filem “Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.” Turut kelihatan dari kanan: A, Galak, Datuk Rahim Razali dan Namron.

Md. Nasir Ibrahim berkata adalah menjadi harapan FINAS sambutan yang diberikan kepada “Mat Kilau…” akan terus mendapat sokongan masyarakat tempatan menonton filem tempatan dalam memberi galakan kepada para penerbit menghasilkan sebuah karya bermutu bagi menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau memberitahu selain Dana, FINAS juga komited dalam membantu meringankan beban penerbit melalui Intensif Tayangan Filem Cereka (ITFC) sejak 1 Julai 2011 setelah menggantikan Pemberian Galakan Pungutan Duti Hiburan.

“Insentif ini adalah ihsan kerajaan untuk membantu penerbit filem tempatan yang harus membayar Duti Hiburan 25 peratus kepada Kerajaan Negeri yang mana ia tidak lagi disalurkan kepada FINAS sejak tahun 2000.

“Insentif ini diteruskan kerana kerajaan sedar kepentingan industri filem yang banyak menjana ekonomi negara. Ini bermakna filem “Mat Kilau…” berpeluang menerima pulangan sebanyak RM500,000 kerana kutipan tiket melebihi RM6juta.”

Sebelum mengakhiri perbualan kami semalam, Md. Nasir Ibrahim berkata;

“Melihat dari senario dan minat para peminat filem “Mat Kilau…” saya yakin jika produser menerbitkan sebuah filem yang mengisahkan bagaimana Tok Ku Paloh, seorang tokoh agama di Terengganu menentang British pasti ia mampu menarik minat orang ramai menonton filem berkenaan.”

– BebasNews

Leave a Reply