Eddie Hamid

KEBANYAKAN mereka yang ingin bergelar artis lebih suka ke Kuala Lumpur bagi mengembangkan lagi karier seni mereka. Namun ini sebaliknya berlaku kepada komposer dan penyanyi, Eddie Hamid yang kini semakin sibuk melebarkan sayap ke Kelantan.

Bercakap mengenainya, Eddie Hamid, 60, berkata, dia sering berulang-alik ke Kelantan disebabkan kelab peminatnya yang terlalu aktif.

“Kelab peminat saya Eddie Hamid Fan’s Club (EHFC) ini terlalu aktif. Boleh kata setiap minggu ada saja aktiviti yang mereka anjurkan. Paling tak ada, sebulan dua kali. Buat masa ini kami sudah ada lebih 5,000 orang ahli. Itu sebabnya bila ada kelapangan saya banyak habiskan masa hujung minggu di Kelantan.

“Tambah pula, saya juga banyak buat lagu untuk artis-artis Kelantan dan dalam masa yang saya juga turut mencari bakat-bakat baru. Itu sebabnya saya kena banyak berada disini. Kini saya tengah sibuk dengan rekoding album Roy Kapilla,” kata Eddy Hamid ketika ditemui di majlis Dikir Barat Amal dan Cabaran Memancing Pantai yang diadakan di DCZ Seaview Seafood Perdana Resort dengan kerjasama EHFC di Pantai Cahaya Bulan (PCB) pada 24 dan 25 Jun lalu.

Antara ibu tunggal dan orang susah yang menerima sumbangan sempena konsert amal ini.

Peminat yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan dikir barat serta artis terkenal Kelantan. Antaranya Roy Kapilla, Man Khan, Aris Kapilla, Shaq Mentor IV, ManMegat, Emie Sukma Sari, Fendi Kenali, Are Long PMII (Pok Leh Agogo), Rizal Ranjuna (Tok Jogho), Jen Endorro (Tukang Karut), PokNik Ha (Tukang Karut) dan Kumpulan Dikir Telaga Bata, Tumpat.

Hasil kutipan daripada cabaran memancing telah disalurkan kepada kepada anak yatim, golongan asnaf dan ibu-ibu tunggal.

Eddy Hamid anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini menambah,“Sebelah sayap saya saja disini, sebelah lagi di Kuala Lumpur (KL). KL pusat saya sebagai komposer, penyanyi dan pekerja di NOVA Music. Di Kelantan tak boleh nak kekal atau bertapak dengan muzik… kena hijrah juga.

“Kelantan hanya untuk mencari rezeki sampingan sambil buat kerja-kerja amal bagi membantu ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, anak-anak tahfiz, orang susah melalui kelab peminat saya. Itu sebabnya ahli kelab saya begitu aktif buat program bagi mencari dana. Kalau ada yang ingin berkongsi saham akhirat amat dialu-alukan untuk menyumbang.”

Eddy Hamid kini juga tidak menyangka kerana lebih 10 buah lagu ciptaannya yang pernah popular suatu waktu dahulu kini berkumandang kembali di corong-corong radio.

Persembahan dikir sempena konsert amal ini

“Dulu tengah popular dan `meletup’…saya hilang seketika dari radar seni. Tahun ini memang rezeki saya, Tuhan bagi saya rezeki sekali lagi. Kini banyak radio putarkan semula semua lagu-lagu popular saya yang kini dinyanyikan artis-artis baru.
“Saya pun tak sangka lebih 10 lagu ciptaan saya kini dimainkan kembali di corong radio.Radio Era ada empat lagu saya yang menduduki carta, radio suria dan lain-lain lagi.

“Antara lagu ciptaan saya yang dirakamkan semula ialah Tragedi Cinta nyanyian Wany Hasrita & Tajul, Buat Insan Tersayang (Ahmad Syafiq & Wawa) Segalanya Telah Berakhir (Fieya Julia & Yazid Izaham) dan Dalam Diam Mencintaimu,’’ ujar Eddy yang kini sedang menunggu masa muncul dengan lagu Segalanya Telah Berakhir yang diberi nafas baru untuk berduet dengan artis baru Indonesia.

Selepas popular dengan lagu Jangan Kelik Lah Wei, kini Eddie Hamid yang bergandingan dengan Man Khan dan Aris Kapilla muncul dengan lagu Bekwoh yang sesuai diputarkan di majlis-majlis perkahwinan orang-orang di sebelah Pantai Timur. — BebasNews

Leave a Reply