coffee, drink, cup
Photo by errordistrict666 on Pixabay
Oleh Ir. Andrew Seah

SEPERTI mana-mana rakyat Malaysia yang lain, saya turut terkesan dengan harga barang yang tinggi pada masa kini dan peningkatan kos sara hidup.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pemerhatian yang saya ingin kongsikan dengan orang lain yang saya alami sendiri.

Saya berasal dari latar belakang teknikal dan disebabkan oleh sifat kerja saya, saya perlu kerap ke negara jiran untuk kerja penyelenggaraan rutin yang syarikat saya terlibat.

Apabila saya tidak melakukan perjalanan, saya menghabiskan sebahagian besar masa saya di pejabat saya di hadapan komputer.

Dengan mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga anak untuk ditanggung, apa yang saya dapat mencukupi dengan sedikit lagi untuk simpanan.

Saya dan keluarga telah mengambil semua langkah yang mungkin untuk mengurangkan perbelanjaan kami, termasuk membawa pulang makanan yang dimasak ke pejabat dan sekolah.

Saya seorang yang suka kopi dan minum sehingga empat cawan sehari. Ini adalah tabiat yang mahal, tidak semahal rokok, tetapi sesuatu yang boleh mencecah hingga RM50 sehari – bergantung kepada kopi yang anda minum.

Ramai rakan sekerja saya sentiasa mengadu bahawa mereka sudah kehabisan duit pada pertengahan bulan – mengapa tidak jika anda terus memesan kopi dua kali sehari bersama-sama dengan makanan ringan dari Starbucks dan Coffee Bean melalui Food Panda atau Grab.

Bagi saya, ia senang sahaja – bawalah makanan yang dimasak dari rumah dan beg kopi yang boleh bertahan selama berhari-hari yang harganya mungkin sama dengan secawan kopi dari Starbucks.

Satu perkara yang orang Malaysia pandai buat ialah merungut. Orang ramai suka mengadu, dan yang selalu manjadi sasaran sudah tentu, perdana menteri dan kerajaannya.

Fenomena Global

Seperti yang dinyatakan, saya banyak mengembara dan jelas bahawa apa yang Malaysia alami sekarang adalah fenomena global dan sesuatu yang benar-benar di luar kawalan mana-mana kerajaan.

Harga barang keperluan semakin meningkat di setiap pelusuk dunia. Namun, satu perkara yang rakyat Malaysia tidak sedar atau tidak mahu akui ialah harga kita lebih murah berbanding mana-mana negara jiran kita.

Sebagai contoh, Indonesia adalah pengeluar minyak sawit nombor satu di dunia, tetapi mengapa minyak masak di sana lebih mahal berbanding Malaysia.

Bagi kebanyakan keluarga di negara jiran, kecuali mungkin Singapura dan Brunei, menikmati hidangan ayam bersama keluarga adalah satu kemewahan – seperti pergi ke KFC kira-kira 45 tahun yang lalu semasa saya masih kecil.

Saya tidak cuba membela sesiapa, tetapi ini adalah realiti yang ramai di antara kita enggan menerima.

Ramai yang tidak melihat gelas itu separuh penuh, tetapi sentiasa separuh kosong. Jika tidak kerana subsidi kerajaan, inflasi kita akan meletup dan mungkin akan berlaku huru-hara dalam negara.

Dari apa yang saya baca, kerajaan membelanjakan hampir RM80 bilion untuk subsidi yang merupakan angka yang memang besar pada masa seperti ini.

Mengapa Starbucks dan Coffee Bean?

Berbalik kepada topik awal saya tentang kopi. Tidak hairanlah ramai di antara kita yang sentiasa merungut kerana tidak cukup wang.

Bagi saya, ia bukan sahaja tentang berapa banyak yang diperoleh, tetapi juga bagaimana seseorang itu menjalani kehidupan mereka. Apa salahnya minum kopi yang boleh dibuat dengan mudah menggunakan beg kopi dan susu?

Sudah tentu, jika anda memesan kopi dalam talian dua atau tiga kali sehari, ia akan menelan kos yang banyak. Dan apabila anda kehabisan wang, apa lagi …salahkan kerajaan lagi.

Bagi saya dan saya percaya untuk ramai yang lain juga, kerajaan melakukan semua yang boleh pada masa kebanyakan negara lain terikat tangan.

Walaupun berdepan krisis ekonomi global yang berterusan, perang Rusia-Ukraine dan keadaan cuaca yang tidak menentu, perdana menteri kita terus bertenang dan menjalankan pentadbirannya dengan baik dan teratur.

Di sebalik segala kritikan dan kenyataan biadab yang sering dilemparkan terhadapnya, dia tetap fokus dan berazam untuk melakukan yang terbaik.

Malaysia muda lupa

Satu perkara yang saya selalu tanya mereka yang terlibat dalam perbincangan politik dengan saya ialah ini. Kalau bukan Datuk Seri Ismail Sabri, siapa lagi?

Apabila saya melemparkan soalan ini kepada mereka, semua orang senyap. Ini ialah kerana tiada orang lain yang mampu dan layak menerajui jawatan teratas sekarang, begitu juga orang lain tidak mempunyai sokongan yang diperlukan.

Terdapat banyak ahli politik yang sentiasa bercakap kosong, termasuk mereka yang terlibat dengan beberapa kes mahkamah. Kita sebagai pengundi tidak seharusnya diperdaya oleh mereka dan harus meniliti untuk diri kita sendiri.

Sebelum kita menyalahkan setiap perkara kecil pada Datuk Seri Ismail Sabri, lihatlah sekeliling. Nilailah sendiri keadaan jiran-jiran kita dan tanya, apa lagi yang kita harapkan perdana menteri buat.

Dia bukanlah seorang yang boleh mengawal harga segala-galanya di pasaran yang ditentukan oleh pelbagai faktor di luar kawalan semua.

Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain atas setiap kekurangan yang kita hadapi dalam kehidupan. Dari pengalaman peribadi saya, kami berada dalam keadaan yang jauh lebih baik dari segi akses kepada makanan, perubatan, pendidikan dan juga pengangkutan berbanding banyak lagi yang lain.

Kita juga harus memainkan peranan kita supaya kita dapat mengharungi dan mengatasi masa sukar ini bersama-sama.

Batu Gajah,
Perak

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply