KEJAYAAN Melaka United FC mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) FC 1-1 di Melaka, kelmarin, bakal terus memotivasikan Sang Kancil untuk cuba mengejutkan pendahulu Liga Super 2022 yang digelar Harimau Selatan itu dalam suku akhir Piala FA pula.

Hari ini, kedua-duanya diundi dalam pertembungan saingan bola sepak kalah singkir kebangsaan itu tanpa timbal balik dengan Stadium Hang Jebat itu akan kembali menjadi saksi pada 23 Julai ini.

Mohd. Asri Ninggal (gambar atas) yang mendalangi kejayaan Melaka United FC mencuri satu mata itu berkata, “bermain di laman sendiri akan memberikan kelebihan itu lagi biarpun perlawanannya tetap sukar.

LEANDRO Velasquez (tengah) penjaring gol JDT di Stadium Hang Jebat, kelmarin. – Foto JDT

Apabila sudah memasuki peringkat suku akhir, kami tidak boleh lagi memilih-milih pasukan dan apabila diundi bertemu JDT, kami akan cuba beri yang termampu.

“Kami pun baru berjumpa mereka, Sabtu lalu dan mungkin sedikit sebanyak pemain-pemain sudah memahami corak permainan lawan.

“Mereka kena bagi tumpuan yang tidak berbelah bahagi dari minit pertama hingga minit terakhir berdasarkan perlawanan tersebut,” kata ketua jurulatih Melaka United FC ini dalam siaran media Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

KEPUTUSAN seri dalam Liga Super tetapi suku akhir Piala FA 23 Julai ini menuntut pemenang muktamad kerana tanpa timbal balik lagi. – Foto JDT

Sabah FC, juara Piala FA 1995 akan menanti di Stadium Likas, Kota Kinabalu sama ada Selangor FC (juara 1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009) atau Kuala Lumpur City FC (juara 1993, 1994 dan 1999).

Dua jiran Lembah Klang ini masih perlu membuat perhitungan pusingan kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Jumaat ini yang telah tertangguh.

Begitu juga Kuching City, pasukan tunggal Liga Perdana 2022 yang akan menunggu pemenang satu lagi pusingan kedua antara juara dua kali (2000 dan 2011), Terengganu FC dan juara 2019, Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Rabu ini.

Ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan bekas pasukan kendaliannya, Terengganu FC atau KDA FC memiliki kualiti permainan yang setara.

“Sama ada Terengganu atau Kedah, bagi saya kedua-duanya sama sahaja dan kami jelas akan menjadi bukan pilihan apatah lagi akan hadir sebagai pasukan pelawat.

Terengganu semakin menemui rentak manakala Kedah yang punyai ramai pemain import baharu, juga semakin garang menerusi persembahan mereka dalam Piala AFC di Bali, baru-baru ini.

“Saya harap pemain-pemain Kuching City FC akan berikan segala-galanya sambil berharap tuah boleh berpihak kepada kita pada peringkat kalah singkir ini,” katanya.

Sri Pahang FC (juara 2006, 2014 dan 2018) bakal melayan pemenang 2002, Penang FC dalam suku akhir yang menemukan dua pasukan corot Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

PERHITUNGAN baki pusingan kedua Piala FA 2022 yang tertangguh, membabitkan dua lagi slot suku akhir. – Foto MFL

 

Leave a Reply