FOTO: Facebook Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR — Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bila berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya melaporkan kepada Ketua Kerajaan berkenaan dapatan atau cadangan MPN untuk menangani isu pemulihan.

Namun beliau mengambil kesempatan untuk membincangkan isu ‘lantikan jawatan baharu’ termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Suffian Hamdan, malahan bekas Perdana Menteri itu menghebahkan pula kepada umum untuk cuba memberi tekanan kepada Perdana Menteri.

“PM yang akan menentukan lantikan Kabinet. Tak perlu didesak sesiapa terutamanya pemimpin dari parti lain.

“Isu lantikan Kabinet bukan keutamaan saat ini. Adakah kalau ada TPM dari Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan selesai isu rakyat?,”katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Media melaporkan kelmarin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu berkata pertemuan itu telah diadakan beberapa hari lalu supaya perjanjian PN dengan Perdana Menteri sebelum ini, dapat dipertimbangkan.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Barisan Nasional (BN) baik dari dalam atau luar kerajaan akan terus memfokuskan usaha dan beri cadangan menangani isu rakyat.

“Pengerusi PN tersebut barangkali lebih sibuk isu jawatan kabinet dan memuktamadkan isu logo yang tak habis-habis dibincangkan,”katanya sinis. — BebasNews

Leave a Reply