Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri menyatakan rasa sedih dan merakamkan takziah kepada semua mangsa banjir di Baling, Kedah yang sehingga kini mengorbankan tiga nyawa.

Menurut hantaran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di laman Facebooknya, beliau yang kini berada di Turkiye bagi lawatan rasminya di negara tersebut berkata, beliau sentiasa mengikut rapat perkembangan semasa banjir di kawasan terbabit.

Katanya, beliau telah mengarahkan Setiausaha Politik, Datuk Mohammad Anuar Mohd. Yunus mewakilinya untuk turun ke kawasan bencana bagi meninjau dan memastikan bantuan disalurkan dengan secepatnya kepada mangsa.

“Walaupun berada di Turkiye untuk lawatan rasmi, saya sentiasa mengikuti perkembangan yang menimpa Keluarga Malaysia di Baling.

“Kita meninjau keperluan segera yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Baling dan bantuan harus segera disampaikan kepada mangsa walaupun saya berada di Turkiye,” katanya di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

“Saya doakan semoga mangsa-mangsa banjir tabah menghadapi dugaan ini. Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dan sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah dan didoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,”katanya.

Terdahulu media melaporkan, tiga sekeluarga termasuk seorang wanita yang mengandung empat bulan dipercayai hilang dalam banjir yang berlaku di Kampung Bukit Iboi, di sini petang semalam.

Bagaimanapun, mayat wanita hamil, Nurul Anis Abu Hassan, 23, dan ibu mertuanya, Salmah Mat Akib, 53, ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan kedua-duanya dijumpai berpelukan di bawah timbunan batang pokok kira-kira 100 meter dari rumah mereka kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Sementara itu, mangsa ketiga, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ditemui di bawah timbunan batang pokok tidak jauh dari tempat mayat ibu dan kakak iparnya dijumpai.

— BebasNews

Leave a Reply