Syed Saddiq

KUALA LUMPUR — Saksi utama dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pecah amanah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Ahli Parlimen Muar itu memintanya melupuskan sebahagian daripada dana Bersatu sebanyak RM1 juta.

RM1 juta itu berada dalam simpanan Syed Saddiq.

Bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu, Rafiq Hakim Razali berkata, Syed Saddiq menghubunginya pada akhir Mac 2020 untuk memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menjalankan pemeriksaan di rumahnya di Petaling Jaya.

Katanya, Syed Syed Saddiq memberitahunya pemeriksaan itu sebahagian daripada siasatan SPRM ke atas laporan bekas pemimpin Pemuda Bersatu itu bahawa beliau dirompak RM250,000. Kemudian, Syed Saddiq berkata, RM250,000 itu dicuri dari rumahnya.

Rafiq berkata, Syed Saddiq memintanya “melupuskan” sejumlah wang tunai yang dimilikinya.

“Saya agihkan (sebahagian) wang itu kepada Naqib (Rahim) dan Daniel (Kusari).”

Sebelum ini, Naqib – tukang jahit dan ahli Bersatu – serta Daniel – ketua penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan ketika itu – memberi keterangan masing-masing menerima RM250,000 dan RM650,000 daripada Rafiq pada April 2020.

Rafiq turut memberitahu mahkamah, beliau dan Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, penolong setiausaha Pemuda Bersatu ketika itu, ke CIMB cawangan KL Sentral pada 6 Mac 2020 untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun sayap Pemuda.

Katanya, pengeluaran wang itu dibuat atas arahan Syed Saddiq.

“Dia (Syed Saddiq) tanya saya berapa banyak wang dalam akaun bank dan saya beritahu kami ada kira-kira RM1.8 juta.

“Dia mengarahkan saya dan Redzuan mengeluarkan RM1 juta untuk program Armada (Pemuda Bersatu).”

Rafiq berkata, disebabkan RM1 juta adalah jumlah yang besar, beliau menghubungi pengurus cawangan untuk bertanya jika cawangan itu mempunyai wang mencukupi.

“Apabila pengurus memaklumkan kami mempunyai dana mencukupi, saya teruskan (pengeluaran).”

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin apa berlaku kepada baki wang itu selepas diagihkan kepada Naqib dan Daniel, Rafiq berkata, ia dibelanjakan untuk program politik, tetapi beliau tidak ingat butirannya.

Syed Saddiq sedang dibicarakan atas empat tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang. Beliau didakwa menyeleweng RM1.12 juta milik Bersatu.

Daripada jumlah itu, RM120,000 dikatakan dana parti untuk pilihan raya umum 2018 dan RM1 juta didakwa dikeluarkan beliau tanpa persetujuan pucuk pimpinan parti.

Beliau turut mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan pengubahan wang berjumlah RM50,000 setiap satu.

Perbicaraan di depan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid bersambung.

Sumber asal — https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/05/syed-saddiq-minta-saya-lupus-rm1-juta-ketika-siasatan-sprm-kata-saksi/

— BebasNews

Leave a Reply