- BebasNews

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi hari ini, menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan injunksi interim bagi menghalang penyebaran rakaman kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa memfitnah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Peguam Ahmad Zahid, Shahrul Fazli Kamarulzaman, berkata hakim menolak permohonan itu atas alasan isu dibangkitkan perlu diputuskan dalam perbicaraan kes terbabit.

“Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes seterusnya secara dalam talian sebagai persediaan perbicaraan kes berkenaan,” katanya kepada BH, semalam.

Selain Shahrul Fazli, Ahmad Zahid diwakili peguam, Mohd Shahril Madisa dan Aina Dalila Daman Huri, manakala peguam Mior Nor Haidir Suhaimi serta Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Dr Mahathir.

Pada 20 April lalu, Ahmad Zahid, 69, yang juga Presiden UMNO memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Mahkamah Tinggi, berhubung dakwaan beliau mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu mencampuri perbicaraan mahkamah.

Berdasarkan pernyataan tuntutan dalam sistem mahkamah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen pada 19 Oktober 2018 atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Semua pertuduhan kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid turut memfailkan notis permohonan inter-parte untuk perintah injunksi interim supaya Dr Mahathir selaku defendan sama ada secara diri sendiri, pegawai, pembantu, ejen, pekerja dan wakilnya untuk menarik balik kenyataan fitnah itu.

Ia juga bagi menghalang mereka menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan itu atau kenyataan fitnah sama di mana-mana platfom media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

Sementara itu, Mior Nor berkata, mahkamah selepas mendengar permohonan injunksi interim itu memutuskan bahawa ia bukan peringkat bagi pihak berkaitan menghujahkan berkenaan merit kes.

“Justeru, Ahmad Zahid dalam tindakan ini perlu membuktikan bahawa kenyataan dibuat Dr Mahathir tidak benar. Berdasarkan pembelaan justifikasi, komen berpatutan dan perlindungan bersyarat dikemukakan kami, mahkamah keberatan membenarkan perintah injunksi interim diminta Ahmad Zahid.

“Oleh itu, permohonan Ahmad Zahid supaya Dr Mahathir dikenakan injunksi interim ditolak dengan kos sebanyak RM5,000 yang dibayar kepada bekas Perdana Menteri berkenaan,” katanya.

Sumber asal — https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/07/973209/mahkamah-tolak-permohonan-zahid-halang-tun-m-sebar-rakaman-kenyataan

— BebasNews

Leave a Reply