TANGKAP layar setem khas yang bertemakan Perahu Tradisional di Malaysia terbitan terbaharu oleh Pos Malaysia Berhad.
Oleh A. AMRI

PUTRAJAYA — Tiga jenis perahu tradisional di negara ini yang sering menjadi imej ikonik pelancongan tempatan kini diabadikan oleh Pos Malaysia Berhad dalam bentuk setem khas.

Menurut hantaran agensi tersebut menerusi laman sosial rasminya, inisiatif yang dilancarkan baru-baru ini menawarkan koleksi filateli bertemakan ‘Perahu Tradisional di Malaysia.’

Antara ditawarkan ialah Perahu Bangkong di Sarawak yang kelaziman sepanjang hampir 30 meter dengan muatan penuh 80 orang dan digunakan masyarakat Dayak Laut suku Iban.

Setem berkenaan dijual pada nilai 30 sen sekeping manakala versi berikutnya pada harga RM1.50 sekeping memaparkan Perahu Lepa yang terkenal digunakan etnik Bajau di Sabah.

Pengangkutan air ini kebiasaannya sepanjang 15 meter dengan suatu ketika dahulu dijadikan sebagai rumah namun kemudian berubah kepada kapal kargo atau nelayan pesisir pantai.

Tidak ketinggalan ditawarkan ialah Perahu Kolek Barat yang cukup popular di Pantai Timur Semenanjung khususnya Kelantan dengan nilai setem RM5 dalam bentuk lembaran mini.

Perahu yang diperbuat 100 peratus daripada kayu cengal dan mampu bertahan sehingga 30 tahun ini terkenal dengan corak ukiran indah bermotif fauna berwarna-warni selain awan larat.

Kesemua imej perahu tersebut dipaparkan secara foto digital dengan set folder yang lengkap termasuk satu sampul surat hari pertama dan lembaran dijual pada harga hanya RM54.80.

Para peminat filateli turut akan menerima dua lembaran setem berbeza dengan denominasi masing-masing 30 sen dan 1.30 sen yang setiap satu mengandungi sejumlah 20 keping.

Mereka yang berminat boleh mendapatkannya di kesemua pejabat pos besar di setiap ibu negeri selain membelinya daripada sejumlah 94 cawangan Biro Filateli Pos Malaysia Berhad.

Ini termasuk pejabat pos di kebanyakan bandar besar seluruh negara serta empat institusi pengajian tinggi awam sekitar Lembah Klang antaranya Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

Peminat filateli turut boleh melaksanakan tempahan pembelian secara atas talian menerusi pautan daripada laman sesawang rasminya iaitu https://bit.ly/SetemPerahuTradisionalDIMalaysia

Ia merupakan koleksi bertema yang kelima dilancarkan pada tahun ini selepas Bunga Boleh Dimakan, Seni Pembuatan Kuih Tradisional, Hidupan Liar Terancam dan Air Terjun di Malaysia.

Agensi tersebut yang diwujudkan sejak zaman penjajahan British awal 1800-an, banyak menerbitkan setem khas bersempena dengan tema tertentu atau peringatan peristiwa penting. — BebasNews

Leave a Reply