coronavirus, corona virus, covid-19
Photo by TheDigitalArtist on Pixabay

SINGAPURA 6 Julai — Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 12,784 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari semalam, peningkatan lebih sekali ganda jangkitan yang dilaporkan kelmarin sebanyak 5,946 kes.

Jumlah itu adalah yang tertinggi sejak pandemik bermula Mac 2020 dan juga melebihi 11,504 kes yang dicatatkan pada 28 Jun lalu yang merupakan kes harian tertinggi dalam tempoh lebih tiga bulan.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 12,248 adalah kes tempatan manakala 536 adalah kes import.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes yang direkodkan Singapura setakat ini adalah 1,485,964 dengan jumlah kematian pula 1,421 orang termasuk dua yang meninggal dunia hari ini.

Menurut MoH, jumlah kes baharu Protokol 2 adalah 11,945, iaitu pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Kes Protokol 2 ini terdiri daripada 11,446 kes tempatan dan 499 kes import manakala
839‬‬‬ kes lagi disahkan menerusi ujian PCR iaitu 802 adalah jangkitan tempatan, dan 37 adalah kes import.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan adalah 1.34 turun berbanding 1.45 semalam. Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar melebihi 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baharu Covid-19 semakin meningkat.

Sementara itu, sebanyak 683 pesakit masih dirawat di hospital, naik berbanding 631 semalam di mana 77 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, 16 dipantau rapi di ICU manakala 7,876 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Mengenai program vaksinasi, setakat 4 Julai, sebanyak 96 peratus penduduk yang layak sudah divaksin di bawah program vaksinasi nasional. — BebasNews

Leave a Reply