Salbiah Zahari (berniqab) bersama tetamu dan pelakon pada majlis sidang media Moyang Salleh, baru-baru ini.

MUZIKAL Moyang Salleh belum dipentaskan dan latihan pun belum bermula, namun penerbitnya Salbiah Zahari, berhasrat membawa pementasan itu ke layar filem.

Teater terbitan Karyawan Negeri Sembilan dengan kerjasama Badan Kebajikan Ahsan Undang Luak Jelebu dan dinaungi oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) hanya akan mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 26 hingga 31 Ogos.

Jika filem Mat Kilau mengetengahkan pahlawan dan pejuang dari Pahang dalam sejarah Tanah Melayu, diharapkan Muzikal Moyang Salleh juga dapat limpahannya dari kebangkitan dan keterujaan rakyat.

Pementasan muzikal berdasarkan legenda figura seorang pemimpin Melayu yang bernama Moyang Salleh dari daerah Jelebu yang mengisahkan tentang perjuangan, pengorbanan, seni dan budaya masyarakat Melayu Negeri Sembilan.

Antara babak yang bakal ditonton sewaktu muzikal Moyang Salleh kelak.

Menurut Salbiah, beliau bukan bercakap kosong tentang hasrat untuk menjadikan karya itu dalam bentuk filem, kerana sudah ada petanda baik daripada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Bakal filemkan muzikal Moyang Salleh kerana FINAS pun akan membantu, kalau tak ada pihak yang nak membantu, kita pun tak boleh buat. Kita akan manfaatkan peluang ini sebaik mungkin.

“Kita selesaikan pementasan ni dulu, pada masa yang sama kita sedang merancang juga untuk difilemkan. Biasanya, saya bersama pengarah dan penerbit eksekutif (Mohd Yunus Md Ali) akan sentiasa berbincang, peka dan lepas ini kita nak buat apa.

“Walaupun sekarang dalam proses lagi tapi kita kena ada visi yang jauh lagi. Kita nak jadikan teater ini filem bukan sebab nak tiru orang lain. Konsep kita adalah pembelajaran kepada golongan muda. Kita tak buat filem atau teater yang biasa-biasa.

Barisan pelakon yang menjayakan pementasan Moyang Salleh, mungkin akan dipilih untuk berlakon dalam filem pula.

“Kenapa kita buat teater, mesti ada impaknya kan? Selain untuk tontonan ia juga bertujuan untuk bagi pendidikan dan meningkatkan jati diri. Bila tengok, penonton terutama generasi muda akan menghayati dan secara tak langsung rasa sayang kepada negara dan negeri kita akan meningkat.

“Saya meletakkan diri saya dalam situasi tersebut dan semoga proses itu sampai kepada golongan muda dan awam. Kalau teater biasa-biasa, saya pun tak nak buang masa saya,” katanya yang ditemui selepas sidang media muzikal Moyang Salleh yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), baru-baru ini.

Tambahnya, rancangan untuk menerbitkan filem Moyang Salleh berkemungkinan tahun depan atau tahun seterusnya kerana pihaknya tak nak tunggu lama.

“Setakat ini dah ada pesanan daripada rakan-rakan FINAS, jadi kita tak akan lepaskan peluang ini. Jadi kita terus pasang strategi dan sebagainya. Adakah kita ambil pelakon yang sama? Pihak kita pun perlu berusaha untuk menunjukkan kualiti yang baik.

“Pengarah mesti dikekalkan, pelakon kalau okey kita ambil pelakon yang sama tak ada masalah. Sebab itu kita selalu berbincang, bagaimana muzikal ini boleh bangun ke komersial. Sekarang pun kita sedang berusaha, apa kelainan dan kekaguman yang kita nak tonjolkan,” katanya.

Muzikal Moyang Selleh yang akan dipentaskam di Istana Budaya
Sempena sambutan Hari Kebangsaan itu akan menampilkan kelainan dari segi seni persembahan dan teknikal serta keunikan yang tersendiri apabila menggunakan sepenuhnya dialek atau loghat Negeri Sembilan sebagai bahasa pertuturan.

Lebih 16 buah lagu yang dicipta dan digubah beserta dialog yang pasti akan mmbuatkan pelakon terhibur dengan irama, tarian dan lakonan yang hebat dengan menampilkan pelakon legenda tanah air, Datuk Ahmad Tamini Serigar sebagai Moyang Salleh, Khir Rahman (Sultan Abdul Jalil Muazam Shah), Along Eyzendy (Si Amat), Eliza Mustapa (Moyang Timah) dan Hairi Safwan (Datuk Bendahara) serta Pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Motion Horse International Filem Festival (MHIFF), Mubarak Majid memegang watak sebagai Datuk Temenggung. — BebasNews

Leave a Reply