Foto id.berita.yahoo.com
Oleh Ridzwan Ahmad

SETIAP kali tibanya hari Arafah, umat Islam di seluruh dunia diingatkan oleh para ulama dan pendakwah semasa tentang keutamaan puasa sunat hari Arafah.

Keutamaannya sebagai puasa yang ‘mampu menghapuskan dosa dua tahun iaitu sebelum dan selepas” sentiasa dilontarkan kepada khalayak sedangkan puasa tersebut masih menimbulkan kekeliruan dari sudut tarikh dan waktu perlaksanaannya apabila tarikh 9 Zulhijah berbeza di antara negara umat Islam di dunia.

Malaysia misalnya pada tahun ini akan menyambut hari raya Aidil Adha pada hari ahad bersamaan 10 Zulhijah waktu Malaysia.

Manakala Arab Saudi telah menetapkan hari Sabtu sebagai hari raya korban maka sudah tentunya hari Arafah jatuh pada hari Jumaat.

Persoalannya umat Islam di Malaysia perlu berpuasa sunat Arafah hari Jumaat atau hari Sabtu.

Jika ditinjau daripada perbahasan ulama maka terdapat percanggahan dalam kalangan mereka terhadap isu ini. Ia bertitik tolak daripada perselisihan pandangan terhadap dua perkara.

Pertama, adakah perbezaan matla’ (tempat terbit anak bulan) dalam penentuan hilal diterima pakai atau tidak. Jika sabit maka umat Islam harus berpuasa dan beraya pada hari berbeza di seluruh dunia.

Para ulama Syafie menganggap puasa berdasarkan perbezaan matla’ iaitu kedudukan tempat yang berasingan manakala konteks sekarang ia meliputi sesebuah negara berdasarkan maslahah ammah.

Manakala sebahagian ulama lain termasuk ulama mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali menyatakan perbezaan matla’ tidak diambil kira justeru puasa boleh berlaku pada hari yang sama di seluruh dunia berdasarkan kenampakan hilal di mana-mana tempat tanpa adanya batasan dan wilayah tertentu.

Dalam hal ini berdasarkan pandangan mazhab Syafie negara Malaysia dan Arab Saudi boleh berbeza hari dari sudut penentuan hari raya korban, puasa Arafah, ibadat korban dan lain-lain. Ketika ini kebanyakan para ulama kontemporari memilih pandangan ulama Syafie disebabkan umat Islam berpecah kepada pelbagai negara dan bangsa.

Perkara kedua ialah persoalan sama ada puasa Arafah berasaskan tempat ataupun masa (waktu) iaitu pada 9 Zulhijah.

Sebahagian ulama menyatakan puasa tersebut bersempena dengan amalan wuquf yang dilakukan di Arafah.

Justeru itu semua umat Islam di dunia perlu berpuasa sunat Arafah berdasarkan hari wuquf di Arafah walaupun di negara mereka masih 8 Zulhijah ataupun 10 Zulhijah.

Golongan majoriti ulama pula menyatakan puasa tersebut bersempena waktu iaitu 9 Zulhijah sama ada bertepatan dengan hari wuquf di Arafah ataupun tidak.

Dinamakan hari Arafah bersempena dengan wuquf di Arafah pada 9 Zulhijah. Sebenarnya pandangan ini lebih tepat berdasarkan hadis iaitu: “Puasa itu ialah pada hari kamu berpuasa, dan Idul Fitri ialah pada hari kamu berbuka, manakala Idul Adha pula pada hari kamu menyembelih haiwan”. (Riwayat al-Tirmidzi, Abu Dawud dan Ibn Majah)

Sebenarnya wukuf di Arafah mesti menepati dua perkara iaitu 9 Zulhijah dan tempatnya di Arafah.

Namun para ulama bersepakat bahawa jika tersalah hari wuquf dari 9 kepada 10 Zulhijah sekalipun, wuquf masih dianggap sah.

Mereka hanya berselisih pendapat jika wuquf tersalah dari 9 Zulhijah kepada 8 Zulhijah, ada yang menyatakan sah ada yang menyatakan batal.

Manakala puasa sunat Arafah pula ialah ibadat yang dikerjakan pada 9 Zulhijah bahkan ia tetap sah walaupun para jamah haji tidak melaksanakan wuquf pada hari tersebut.

Oleh itu puasa sunat Arafah tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan ibadat wuquf di Arafah.

Amalan tersebut bukan dikerjakan sebagai ganti terhadap mereka yang tidak mengerjakan haji di Makkah.

Bahkan ketika Nabi s.a.w. mengerjakannya pada 9 Zulhijah pada tahun 2 hijriyyah, belum ada lagi wuquf di Arafah kerana ibadat haji disyariatkan pada tahun ke 10 hijriyyah.

Begitu juga semua ibadat puasa yang dikerjakan dalam Islam mempunyai kaitan dengan waktu dan tarikh tertentu dalam kalender Islam bukannya tempat tertentu.

Dalam hal ini adalah lebih tepat kita umat Islam di Malaysia mengikuti ketetapan yang telah dilakukan oleh kerajaan iaitu 10 Zulhijah jatuh pada hari ahad manakala 9 Zulhijah jatuh pada hari Sabtu.

Kita disunatkan berpuasa sunat Arafah pada hari Sabtu.

Ia menepati kaedah fiqh iaitu hukm al-hakim yarfa’ al-khilaf (keputusan pemerintah menghapuskan khilaf).

Ada yang berpandangan boleh berpuasa dua hari berturut-turut sebagai ihtiyat (sikap berhati-hati) iaitu hari Jumaat diniatkan puasa Arafah manakala hari Sabtu diniatkan sebagai puasa 9 Zulhijah sahaja.

Pendapat ini agak mengelirukan dan bertentangan dengan sunnah.

Ini kerana 9 Zulhijah tidak mungkin berlaku dua kali dalam sebulan. Jika hari Jumaat telah dilaksanakan puasa sunat Arafah bermakna keesokannya tidak boleh lagi puasa kerana telah dianggap hari raya korban.

Begitu juga ia akan mengikat ibadat korban yang hanya boleh dilakukan pada hari raya qurban dan hari tashriq sedangkan penentuan tersebut berbeza di antara Malaysia dan Arab Saudi. Jika ingin berpuasa sunat pada hari Jumaat sahaja memadai niat puasa dalam bulan Zulhijah secara mutlak.

Apa yang boleh dilakukan ialah bagi mereka yang mampu melaksanakan puasa dua hari ialah pada hari Jumaat diniatkan puasa tarwiyah manakala pada hari Sabtu diniatkan sebagai puasa Arafah kerana bertepatan dengan 9 Zulhijah.

Walaupun puasa sunat tarwiyah berdasarkan hadis yang daif namun hari tersebut sabit melalui hadis sahih bahkan termasuk dalam hadis sahih tentang kelebihan melakukan amal soleh pada 10 hari terawal Zulhijah.

Sesungguhnya isu ini menyamai isu raya idil fitri sebelum ini. Jika umat Islam boleh berbeza hari berpuasa pada bulan Ramadan dan beraya Idil Fitri sebelum ini mengapa puasa sunat Arafah tidak boleh berbeza hari. Disebabkan kita tinggal di Malaysia maka ikutilah ketetapan puasa dan hari raya di Malaysia seperti mana waktu solat di Malaysia tidak sama dengan waktu solat di Makkah.

Ingatlah penyatuan umat Islam adalah lebih utama daripada puasa sunat Arafah menyamai Arab Saudi semata-mata. Walau bagaimanapun dari sudut mustajab berdoa ketika saat di Arafah sebagaimana hadis iaitu sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah, maka perlu mengikut waktu di sana bukannya di Malaysia.

Ridzwan Ahmad merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh Dan Usul,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply