KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipantau oleh lima jawatankuasa bebas dalam melaksanakan fungsi dan peranannya.

Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, ia bagi memastikan SPRM telus dan bebas melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Antara jawatankuasa bebas yang diwujudkan adalah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah dan Jawatankuasa Aduan.

“Dua lagi jawatankuasa adalah Panel Perundingan Dan Pencegahan Rasuah dan Panel Penilaian Operasi,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jais berkata, kesemua jawatankuasa tersebut diwujudkan atas dasar memantau dan menasihati pihak SPRM dan suruhanjaya tersebut tidak melaksanakan tugas mereka dengan sewenang-wenangnya.

Katanya lagi, dengan adanya kesemua jawatankuasa terbabit mekanisme semak dan imbang dapat dilakukan dengan lebih telus.

“Ahli badan pemantau di dalam jawatankuasa tersebut terdiri daripada wakil pelbagai sektor seperti parti politik, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal undang-undang, pengamal media, bekas hakim dan bekas pegawai tinggi sektor awam.

“Perlantikan kesemua figura tersebut untuk menyertai lima jawatankuasa tersebut membuktikan kebebasan dan ketelusan SPRM menjalankan tugas mereka,”katanya.

— BebasNews

Leave a Reply