Foto Facebook

Selak Hassan Md NoorSELEPAS terlantar selama 11 tahun, bekas Timbalan Presiden MIC Tan Sri S. Subramaniam meninggal dunia dalam tidur pada pukul 8 malam 5 Julai 2022 di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor.

Mendiang yang berusia 78 tahun diserang strok (angin ahmar) pada 2011 dan sejak itu terlantar di rumahnya.

Ketika mendiang menyertai MIC pada tahun 1962, saya baru berumur setahun tetapi saya dapat mengenalinya dengan lebih dekat seterusnya mengenali pimpinan MIC ketika menjadi wartawan di Utusan Melayu (Malaysia) Bhd., di Kuala Lumpur.

Saya mengenali Subra bersama dua lagi rakan karibnya dalam MIC yang telah meninggal dunia iaitu naib-naib presiden, Datuk K.Pathmanaban dan Tan Sri M.G Pandithan.

Tiga serangkai ini adalah antara pemimpin parti yang ‘berani berhadapan’ dengan Samy Vellu sebagai Presiden MIC.

Memang menarik mengikuti perjalanan politik Subra semasa hayatnya, seorang pemimpin yang mudah didekati, tenang dalam berpolitik walaupun berhadapan masalah hubungan yang pasang surut dengan kepemimpinan utama parti.

Pernah pada satu ketika saya mahu menemu bual mendiang tetapi kerana kesibukannya, mendiang mengajak saya mengikutnya berkempen untuk jawatan parti, kemudian temu bual di dalam kereta serta di hotel penginapan.

Di sebalik pelbagai usaha untuk menjatuhkan karier politiknya, Subra tetap tabah menghadapinya walaupun setelah ketiadaan orang kanan dan kiri yang menjadi penyokong utama – Pathmanaban dan Pandithan.

Dalam kalangan masyarakat India, mendiang mendapat jolokan sebagai pemimpin masyarakat atau Makkal Thalaivar.

Subra pernah mencabar jawatan Presiden MIC semasa pemilihan pada 1989. Pertandingan itu berpunca daripada rasa tidak puas hati Subra berikutan tindakan menutup cawangan-cawangan MIC terutama melibatkankan penyokongnya.

Beliau pada ketika itu mendakwa kira-kira 60,000 ahli dipecat kemudian menambah angka itu kepada 100,000 orang, peningkatan kepada 40,000 lagi dalam tempoh 20 tahun selepas 1989.

Sejarah pertembungan Samy Vellu dan Subra bermula pada tahun 1977, apabila mereka bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden MIC. Samy menang. Bagaimanapun pada 1981, mereka berganding sebagai Presiden dan Timbalan Presiden MIC.

Tetapi lapan tahun kemudian, iaitu pada 1989, mereka bertarung merebut jawatan Presiden MIC. Subra tewas.

Sejak itu hubungan mereka dalam keadaan pasang surut atau lebih tepat tidak begitu baik. Sekejap okey, sekejap tidak. Kemuncak perselisihan terbukti pada 1990 apabila Subra digugurkan daripada senarai calon pilihan raya umum (PRU).

Subra kemudiannya meletak jawatan Timbalan Presiden MIC dan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun beliau dilantik sebagai Senator dan terus memegang jawatan timbalan menteri.

Cubaan untuk menyingkirkan Subra gagal. Pada Julai 1991, beliau dipilih semula sebagai Timbalan Presiden. Pada PRU 1995, beliau disenaraikan bertanding di kawasan lamanya, Parlimen Segamat. Begitu juga pada tahun 1999.

Beliau juga mengekalkan jawatan No.2 dalam MIC pada 1997, 2000 dan 2003. Namun pada PRU 2004, beliau sekali lagi disingkirkan daripada senarai calon PRU.

Pada pemilihan 2006, Samy menamakan G.Palanivel untuk mencabar Subra yang bukan lagi anggota Parlimen. Akhirnya pemimpin masyarakat itu tewas. Ketika itu beliau mendapat 495 undi sementara Palanivel 933 undi.

Cubaan Subra untuk bangkit semula pada pemilihan berikutnya juga gagal.

Begitulah Subra yang terpaksa menunggu dan bersabar di kedudukan No.2 dalam parti selama lebih 25 tahun tetapi penantiannya itu berakhir di situ dengan ‘penyingkiran’ secara halus daripada kepemimpinan arus perdana.

Sepanjang penglibatan dalam politik, Subra pernah menjadi setiausaha agung dan naib presiden. Dua penggal sebagai Ahli Parlimen Damansara (1974 sehingga 1982), dan empat penggal sebagai Ahli Parlimen Segamat, penggal terakhir pada 1999.

Mendiang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Buruh dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Pernah menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ; Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan ; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Pertanian serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Begitulah perjalanan kehidupan politik mendiang yang akan terus diingati terutama dalam kalangan rakan-rakan politik seangkatan dengannya.

Takziah kepada keluarga mendiang.

— BebasNews

Leave a Reply