kaaba, pilgrimage, mecca
Photo by Konevi on Pixabay

Oleh Dr. Nor Hazrul bin Mohd. Salleh

PADANG Arafah adalah lokasi yang menyatukan umat Islam dari seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Malah, rukun terbesar ibadah Haji ialah wukuf di padang Arafah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ibadah haji adalah wukuf di padang Arafah”. [Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah]

Bermakna, tidak sah ibadah haji tanpa wukuf di padang Arafah.

Sehubungan itu, seluruh umat Islam yang mengerjakan ibadah Haji akan berada di padang Arafah pada tempoh masa yang sama. Mereka dikumpulkan di tempat yang sama, pada masa yang sama dan dengan berpakaian yang sama (ihram) terutamanya kepada jemaah Haji lelaki. Tiada perhimpunan di dunia yang lebih besar daripada perhimpunan umat Islam di padang Arafah pada hari Wukuf iaitu pada 9 Zulhijjah
setiap tahun.

Ia adalah perhimpunan agung terbesar manusia seluruhnya. Perhimpunan yang mengumpulkan umat Islam dari seluruh dunia daripada pelbagai negara dan bangsa. Semua jemaah Haji akan bersama-sama mengucapkan lafaz-lafaz yang mensucikan Allah, memuji dan mengagungkanNya. Di samping, masa itu juga digunakan untuk banyakkan berdoa kerana ianya juga antara waktu dan lokasi doa yang mustajab.

Bahkan, musim haji adalah musim tarbiyah ke arah takwa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)”. [Surah al- Baqarah, ayat 197]

Oleh itu, Wukuf di padang Arafah amat berbeza dengan mana-mana perhimpunan agung manusia di atas dunia pada hari ini kerana ianya adalah ibadah kepada Allah SWT. Kadang-kadang perhimpunan agung biasa manusia boleh membawa kepada pertelingkahan, bertikam lidah, berdebat secara melampau dan banyak perkara lagi yang memberikan persepsi yang tidak baik hatta kepada kumpulan orang Islam sendiri.

Berbeza dengan Wukuf di padang Arafah yang mendidik para Jemaah agar sentiasa melakukan amalan yang mengingatkan kepada Allah SWT. Wukuf di padang Arafah ialah pada 9 Zulhijjah. Antara kelebihan pada hari Arafah ataupun 9 Zulhijjah ialah umat Islam di seluruh dunia yang tidak menunaikan fardhu haji disunatkan berpuasa. Namun, ianya tidaklah menggantikan atau menyamakan dengan ibadah Wukuf bagi para Jemaah haji.

Malah, puasa sunat ini juga biasa dilakukan pada 9 Zulhijjah mengikut negara masing-masing walaupun kadang-kadang tidak bersamaan dengan hari wukuf di Arafah. Ini adalah pandangan dan amalan yang banyak diguna pakai di seluruh dunia Islam pada hari ini.

Banyak hadis Nabi SAW yang merujuk kepada kelebihan berpuasa pada 9 Zulhijjah. Antaranya ialah sabda baginda yang bermaksud: “Rasulullah SAW biasa berpuasa pada sembilan hari awal Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram), berpuasa tiga hari setiap bulan (hari putih) dan awal bulan pada hari Isnin dan Khamis”. [Hadis Riwayat Bukhari] Begitu juga hadis yang bermaksud: “Puasa Arafah (9 Zulhijjah) dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. [Hadis Riwayat Muslim]

Hadis-hadis ini membuktikan kelebihan besar yang ada pada hari Arafah dan 9 Zulhijjah. Sepatutnya seluruh umat Islam mengambil iktibar daripada perhimpunan para Jemaah Haji di padang Arafah sebagai simbolik kepada penyatuan seluruh umat Islam di dunia ini. Perhimpunan ini membuktikan bahawa semua umat Islam adalah bersaudara. Maka, perhimpunan di tempat yang sama dan pada masa yang sama ini dengan tidak mengira sempadan negara dan perbezaan bangsa dan keturunan ini menunjukkan persamaan, perpaduan dan kekuatan umat Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”. [Surah al-Hujurat, ayat 10]

Walaupun umat Islam yang lain tidak bersama para Jemaah haji di padang Arafah, namun dengan amalan seperti berpuasa dan amalan-amalan yang lain pastinya akan melahirkan rasa kebersamaan. Perasaan inilah yang akan menerbitkan benih ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan sesama Islam) yang akan menyatukan hati-hati mereka. Seterusnya, akan menyuburkan ukhuwwah ini di kalangan umat Islam sejagat.  

Jiwa inilah yang sepatutnya dipupuk dan disuburkan mengambil sempena perhimpunan agung ini. Dalam konteks ini juga, Allah SWT menegaskan bahawa antara tujuan penciptaan manusia berbangsa-bangsa adalah supaya mereka saling mengenali dan akhirnya akan membawa kepada kesatuan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. [Surah al-Hujurat, ayat 13]

Mesej ini jugalah yang telah Allah SWT tegaskan di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya” [Surah al-Hajj, ayat 37]

Sangat jelas bahawa perhimpunan agung di padang Arafah bukanlah sekadar ibadah dan rukun bagi yang mengerjakan fardhu Haji semata-mata. Bahkan, hikmah dan mesej

Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

penting yang Allah SWT sampaikan ialah perpaduan serta kesatuan seluruh umat Islam di dunia ini. Di samping, peluang kepada umat Islam yang lain yang tidak mengerjakan fardhu Haji bahawa mereka juga boleh bersama dengan mengerjakan ibadah lain seperti berpuasa. Malah, korban pada hari Raya Aidil Adha juga adalah simbol kepada takwa.

Dr. Nor Hazrul bin Mohd. Salleh adalah Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

— BebasNews

Leave a Reply