kuala lumpur, twin tower, city
Photo by Pexels on Pixabay

BEBERAPA parti politik Peribumi, Melayu dan Islam di Malaysia, kini hanya mempunyai dua sahaja pilihan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), demi masa depan negara, rakyat jelata, kemakmuran, dan keselamatan nasionalnya.

Pilihan pertama, teruskan perbalahan sesama pemimpin dalam parti sendiri, dan pebagaikan lagi serangan fitnah untuk terus menyemarakkan persengketaan dengan lain-lain parti yang telah menghulurkan salam perdamaian demi kelangsungan kuasa Peribumi, Melayu dan Islam di Malaysia yang majmuk.

Jika ini pilihannya, parti politik terbabit akan tewas dalam PRU15 dan terus kecundang di atas longgokan penghinaan, cercaan, tohmah dan fitnah yang telah mereka lontarkan kepada pihak yang merintis usaha damai.

Parti politik ini juga akan terus berada di persimpangan dilema, halatujunya kabur, kecelaruan sikap ahlinya amat ketara, integriti organisasinya semakin tercemar.

Sesetengah pembesar parti politik ini pula terus gila kuas, dan kehilangan punca sampai ke akar umbinya, walaupun Peribumi adalah anak watan, bangsa teras dan warganegara majoriti di Malaysia.

Mereka juga akan terus menjadikan parti politik pimpinannya sebagai milik peribadinya; bukan sebagai wadah untuk membela rakyat yang kini terkesan dengan pelbagai cabaran kehidupan.

Fenomena ini akan menyebabkan masyarakat umum membenci ahli politik ke tahap maksimum, walaupun tidak semuanya korup, bukan semuanya menyalahgunakan kuasa, dan bukan seluruhnya mengamalkan nepotisme.

Pilihan yang kedua adalah, tangani masalah dalaman yang sedang dihadapinya, hentikan fitnah terhadap lawannya, bebaskan diri daripada sindrom penafian, dan sambut salam perpaduan yang telah dihulurkan oleh lain-lain parti politik Peribumi, Melayu dan Islam yang prihatin terhadap kelangsungan kuasa mereka selepas PRU15.

Pilihan ini banyak manfaatnya. Satu, akan menghalang pihak yang cuba menghakis “metanarrative” atau gagasan besar perjuangan Peribumi di Malaysia yang majmuk. Dua, ia memelihara keabsahan gagasan besar perjuangan politik Peribumi supaya tidak diputarbelitkan oleh pihak tertentu. Tiga, ia membendung Peribumi jadi semakin berpecah-belah dan berbalah-balah.

Gagasan besar perjuangan politik Peribumi perlu dipertahankan supaya generasi mudanya dan seluruh rakyat Malaysia tidak akan mentafsirkannya menerusi sudut yang individualistik dan penuh increduality atau sikap enggan mempercayai pemerintahan berasaskan Peribumi.

Ini kerana naratif besar perjuangan Peribumi yang absah dan wujud sejak Merdeka, kini dianggap oleh pihak tertentu, kononnya sebagai tidak menepati piawaian nilai-nilai sejagat.

Lantas, pihak ini mahu memperkenalkan naratif baharu untuk menafikan keabsahan naratif besar perjuangan Peribumi Malaysia. Usaha ini semakin mempengaruhi pemikiran segolongan rakyat Malaysia, termasuk Peribumi, untuk mempertikaikan realiti nasional bahawa Peribumi adalah anak watan, bangsa teras, dan warganegara majoriti Malaysia, yang telah wujud dan berkongsi warisan sejarah sosiobudaya Alam Melayu, sejak berkurun lamanya.

Ini sebabnya, percakaran, persengketaan dan permusuhan di antara parti politik Perbumi pada hari ini mesti direntikan, supaya tidak merancakkan penafian terhadap naratif besar perjuangan politik berasaskan Peribumi, Melayu dan Islam di negara ini.

Jika kuasa politik Peribumi tidak bersatu, kebijaksanaan silam di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung; akan mereka dipertikaikan secara habis-habisan untuk mengabsahkan tuntutan kesamarataan total berasaskan ukuran sejagat.

Kemunculan naratif baharu ini menyebabkan wadah politik Peribumi semakin mengecil hingga menjejaskan kekuatan perjuangan semasa politiknya, dan mengancam kelangsugan seluruh rakyat jelata Malaysia di hari muka.

Jika ini tidak dihalang, kebijaksanaan silam bahawa bersatu teguh, bercerai roboh, tidak lagi bermakna, dan perpecahan politik Peribumi menjadi semakin meluas dan membimbangkan.

Lantaran itu, kewujudan pemimpin dan pengikut parti politik Peribumi yang tamak dan gila kuasa, mesti dicegah. Pemimpin dan ahli politik Peribumi yang dicengkam sindrom penafian, seolah-olah buta hati, dan menabur fitnah dengan sewenang-wenangnya; mesti disanggah dan ditentang.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan beberapa Raja Melayu yang sudah menzahirkan kebimbangan terhadap fenomena semasa ini, telah menitahkan agar semua pihak terbabit memberhentikan politik yang sedemikian rupa.

Tetapi, pihak terbabit nampaknya tidak langsung mempedulikan titah di atas, bahkan hari demi hari, semakin menjadi-jadi, tanpa menginsafi gelagat mereka menyebabkan perpecahan politik Peribumi yang lebih parah serta mengancam kelangsungan negara dan rakyat jelatanya.

Maka, rakyat selaku pengundi, perlu memperkasakan kuasa demokrasi dalam tangan mereka, gunakan kuasa ini untuk memberhentikan kegilaan politik Peribumi masa kini, dan jeritkan kepada pemimpin Peribumi yang tamak dan gila kuasa, bahawa perdamaian dan penyatuan adalah lebih berfaedah daripada perpecahan, kehancuran dan kehuru-haraan.

Pastinya ada pihak yang mengatakan, mustahil untuk Peribumi berdamai dan bersatu, kerana mereka memang begitu sifat dan sikapnya, sejak dahulu sampai sekarang.

Soalnya, sampai bila Peribumi mesti berpecah-belah, bijaksanakah mereka untuk memilih kehancuran, dan tidak mungkinkah suara sinis ini mencerminkan propaganda yang mesti dimansuhkan buat selama-lamanya?

Rakyat yang sangat terkesan dengan kegilaan politik pemimpin tertentu, mesti berani bersuara secara tegas dan lantang, bahawa mereka tidak merelakan perpecahan yang semakin parah sehingga Peribumi mungkin tidak lagi mampu mempertahankan masa depan mereka sendiri.

Lantas, jika UMNO adalah “dalang” kepada perpecahan Peribumi mutakhir ini; seluruh pemimpin dan anggota UMNO perlu merintis jalan perdamaian dan perpaduan dengan lain-lain parti Peribumi, Melayu dan Islam.

Jika pemimpin tertentu pula yang disifatkan rakus, tamak dan gila kuasa; pemimpin ini mesti disanggah dan ditentang habis-habisan oleh rakyat yang perihatin terhadap keselamatan dan masa depan kuasa Peribumi di era selepas PRU15.

Akhir kata, sayugia kita beringat, sesebuah parti politik bukan milik peribadi seseorang pemimpin, dan bukan wadah persaingan kuasa yang didorong tamak haloba bagi memelihara kedudukan dan nasib peribadi kelompok pemimpin yang tertentu. Sesebuah parti politik adalah wadah perjuangan untuk membela nasib serta kehidupan seluruh kelompok manusia majoriti yang bergelar rakyat jelata Malaysia. –- BebasNews

Leave a Reply