KUALA LUMPUR — Perdana Menteri menyifatkan sambutan hari raya Aidiladha kali ini perlu dijadikan iktibar bagi menghadapi keadaan hidup yang semakin mencabar saat ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sambutan kali ini membawa erti besar kepada umat Islam di negara ini apabila dapat kembali mera­i­kannya seperti sedia kala selepas dua tahun berdepan de­ngan pandemik Covid-19.

“Kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail adalah iktibar yang perlu dihayati oleh seluruh Keluarga Malaysia dalam kita mendepani cabaran kehidupan seharian.

“Maka, dengan nilai-nilai keinsafan, pengorbanan, kebersamaan dan kesyukuran, kita dapat meneruskan kehidupan yang lebih harmoni di sebalik pelbagai ketidaktentuan dunia yang berlaku pada hari ini,” katanya dalam Perutusan Khas Hari Raya Aidiladha malam ini.

Beliau berkata, cabaran ekonomi yang antara lain berpunca daripada konflik geopolitik dan perubahan iklim global menjejaskan kehidupan seharian semua lapisan ma­syarakat.

Namun begitu, beliau memberi jaminan kerajaan sentiasa mendengar dan memahami denyut nadi rakyat, malah berusaha untuk menangani impak inflasi global termasuk menu­buhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

“Pasukan ini berperanan me­nyatukan semua kementerian dan agensi-agensi berkaitan bagi menyelesaikan kesulitan yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia dengan segera.

“Namun, kerajaan tidak dapat melakukannya sendirian. Justeru, seluruh Keluarga Malaysia perlu bersama-sama berganding bahu menanganinya. Ini adalah jihad kita bersama untuk memastikan ekonomi negara kembali pulih,” ujarnya.

Walaubagaimanapun, beliau me­nyeru semua pi­hak supaya me­nge­tepikan sebarang per­bezaan fahaman po­litik ketika ma­sya­rakat dilanda pel­­bagai masalah yang perlu ditangani se­­gera.

“Buktikan keinsafan dan ke­syukuran kita dengan bersama-sa­ma dalam meningkat­kan mar­tabat agama kita, serta me­mupuk hubungan yang ba­ik de­ngan rakan-rakan kita daripada keturunan dan agama yang lain.

“Marilah kita berdoa semoga dengan semangat pengorbanan yang diamalkan oleh Keluarga Malaysia, kita mampu menjadikan tanah air ini kalis cabaran, kukuh dan terus maju mendepani apa jua situasi dan cabaran mendatang, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri turut mendoakan le­bih 14,000 jemaah Malaysia di Tanah Suci Mekah agar dipermudahkan urusan dan dikurniakan haji yang mabrur.

Teks ucapan —

FINAL TEKS UCAPAN YAB PM AIDILADHA 2022

— BebasNews

Leave a Reply