APABILA bercakap tentang Rashid Sibir tidak boleh dinafikan ‘suatu ketika dahulu’ beliau pernah digelar pengarah ‘airmata’ kerana karya seninya mampu meruntun hati para peminat drama yang ditayangkan setiap malam raya selama lima tahun berturut-turut di Astro Ria bermula tahun 2001 sehingga 2005.

Meskipun ramai yang meminati drama sayu pilunya yang bukan sahaja mampu menimbulkan keinsafan dan banyak memberi pengajaran namun yang pasti drama genre berkenaan di malam raya antaranya “Pondok Buruk, Quran Buruk dan Cantiknya Si Buruk” memang sinonim dengan beliau.

Kini setelah sekian lama drama ‘airmata’ beliau tidak menemui para peminat setianya, “Terbuka Pintu Syurga” yang akan disiarkan pada pukul 12 tengahari ini sempena Hari Raya Aidil Adha di Astro Prima pasti akan mengubat kerinduan anda pada hasil karyanya. 

RASHID SIBIR

Rashid Sibir yang masih mengekalkan ‘resipinya’ kisah sayu pilu pada hari raya bukan sekadar mampu mengalirkan airmata penonton tetapi tanpa beliau sedar karya-karyanya dahulu mengingatkan anak yang merantau di kota pulang ke kampung beraya bersama ayah dan ibu mereka.

“Sebenarnya saya tidak pernah menduga drama sedih di malam raya bukan sekadar membuatkan penonton menangis tetapi yang paling menyentuh hati apabila ia membuatkan seorang anak bersama keluarganya tergesa-gesa balik ke kampung untuk beraya bersama orangtua mereka.

“Saya tidak sangka drama malam raya Pondok Buruk yang pernah ditayangkan di Astro Ria pada tahun 2001 membuatkan sahabat saya bergegas ke Chow Kit membeli langsir dan semua keperluan raya dan terus bawa keluarganya balik ke Kedah beraya bersama ayah dan ibunya.

“Selepas drama itu habis ditayangkan sahabat saya call mulanya marah-marah kerana membuatkan beliau menangis tetapi akhirnya berterima kasih pada saya sambil beritahu drama itu bukan sahaja membuatkan dia menangis malah mengingatkan beliau pada orangtuanya untuk balik beraya di kampung,” cerita Rashid Sibir mengimbau kembali drama-drama sedih malam raya arahannya yang pernah membuatkan ramai penonton menangis hiba.

Menurut Rashid Sibir, beliau meneruskan legasinya mengarah drama sedih terutama yang dialami wargaemas bukan sahaja mahu para penonton merenung sejenak sambil menghargai ibubapa yang masih ada malah yang lebih penting dramanya dapat mengumpulkan pelakon lama yang masih ‘berbisa’ lakonannya.

“Sebagai penerbit dan pengarah sebenarnya saya memang teringin menerbitkan sebuah drama yang akan mengekalkan ketulenan para pelakonnya.

“Maknanya jika watak seorang tua sama ada lelaki atau perempuan kita masih punya pelakon yang bagus dan lakonannya begitu meresap di jiwa setiap penonton bukan pelakon muda yang dimekap tua dan nampak begitu pelik.

“Tetapi apakan daya kadangkala kita terlalu terikat dengan syarat dan kehendak stesen televisyen. Sedangkan pelakon otai ini dah lama sangat tidak ada dalam sesebuah drama,” ujar Rashid Sibir.

Menyentuh mengenai “Terbuka Pintu Syurga,” Rashid amat bersyukur kerana pihak Astro Prima menerima nama-nama pelakon yang disenaraikan untuk menyantuni karya terbarunya dan beliau yakin penampilan mereka pasti membuatkan para penonton sayu dan sedih dan tanpa sedar air mata mengalir melihatkan nasib malang pasangan tua.

“Saya bangga dengan Jalil Hamid, Norlia Ghani, Datuk Rahim Razali, Sabri Yunus kerana walaupun sudah berusia tetapi mampu membawakan watak mereka dengan baik.

“Sementara Raja Azura sebagai Khatijah anak derhaka memang akan membuatkan penonton benci dan menyampah melihatkannya,” cerita Rashid Sibir.

Disamping suka menggabungkan artis-artis lama dalam sebuah drama arahannya, Rashid Sibir suka menjalani penggambaran di kampung kerana ia bukan sahaja mengabadikan pemandangan yang indah malah masih tebal nilai murni dan hidup bermasyarakat.

“Terbuka Pintu Syurga” yang menjalani penggambaran di Ijok dan Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor membawa kisah keluarga, dendam, kasih sayang dan airmata.

Drama sedih ini membawa kisah Pak Ali dan isterinya, Mak Esah dihalau oleh Khatijah dari rumah pesaka setelah Nek Mah meninggal dunia. Walaupun pada mulanya Pak Ali enggan keluar dari rumah berkenaan kerana ayah Khatijah, Pak Long yang merupakan abang kepada Pak Ali berjanji jika beliau menjaga Nek Mah, Pak Long akan menghantar pasangan suami isteri itu ke Mekah dan setelah Nek Mah meninggal tanah dan hakmilik rumah itu akan dberikan kepada Pak Ali.

Bagaimanapun sebaik sahaja jenazah Nek Mah dikebumikan Khatijah menghalau Pak Ali & Mak Esah dari rumah itu kerana dendamnya kepada Pak Ali sekian lama.

Pak Ali dan Mak Esah tinggal di sebuah rumah tinggal. Dengan keadaan mereka yang tidak sihat Pak Ali terpaksa bekerja sebagai nelayan dan Mak Esah bekerja di gerai. Kejadian Khatijah dirompak akhirnya telah memburukan nama Pak Ali dan membuatkan kesihatan Mak Esah semakin menurun.

Apakah kesudahan “Terbuka Pintu Syurga” yang lakonan Jalil Hamid, Norlia Ghani, Raja Azura, Datuk Rahim Razali, Sabri Yunus, Rosnah Mat Aris dan Aidit Noh?

– BebasNews

Leave a Reply