Ismail Sabri (kanan) menerima kunjungan hormat Wang Yi (kiri) di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan China kekal komited memberikan keutamaan berterusan dalam meningkatkan kerjasama dua hala dengan Malaysia khususnya bagi menangani cabaran semasa dihadapi kedua-dua negara seperti inflasi global dan keselamatan makanan.

Penasihat Negara yang juga Menteri Luar Negeri Republik China, Wang Yi menyatakan demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya hari ini.

Menurut Perdana Menteri, kunjungan Wang Yi merupakan langkah proaktif ke arah meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara.

“Kami berbincang dalam suasana mesra selama satu jam, mengenai hubungan dua hala serta kepentingan dalam membangunkan ekonomi digital.

“Wang Yi menyatakan bahawa China terus memberikan keutamaan untuk meningkatkan kerjasama dua hala dengan Malaysia terutamanya bagi menangani cabaran semasa dihadapi kedua-dua negara seperti inflasi global dan keselamatan makanan,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Ismail Sabri berkata, Wang Yi turut menyatakan penghargaan kepada Malaysia di atas peluang diberikan kepada syarikat-syarikat infrastruktur China untuk terlibat sama dalam projek pembangunan negara.

Katanya lagi, antara projek tersebut termasuklah pelaksanaan projek East Coast Rail Link (ECRL) yang mana pihak China berhasrat untuk meneruskan kesinambungan jaringan landasan kereta api yang turut melibatkan Laos dan Thailand.

“China juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan keamanan dunia dikekalkan,” katanya.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, beliau turut menyuarakan pandangan bahawa setiap konflik yang berlaku wajar diselesaikan di meja rundingan dan bukan melalui peperangan.

“Saya turut menyampaikan ucap selamat kepada Presiden Xi Jinping dan Premier Li Keqiang selain menyuarakan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke China dalam masa terdekat dan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi dan Premier Li.

“Dalam masa sama, kerajaan juga mengalu-alukan minat lebih banyak delegasi rasmi dan perniagaan dari China seperti Huawei untuk sama-sama terlibat dalam inisiatif Malaysia,” ujarnya. — BebasNews

Leave a Reply