Vanessa dan Pasya diberi tanggungjawab merakam semula lagu Halaman Asmara, dendangan asal oleh Awie dan Ziana Zain.

SIAPA yang tak gembira bila diberi peluang merakamkan semula lagu Halaman Asmara, dendangan Datuk Awie dan Ziana Zain.

Lagu ciptaan Datuk M.Nasir dan lirik oleh S.Amin Shahab itu merupakan salah satu runut bunyi untuk filem Sembilu II dan sering kedengaran di corong radio tatkala menjelang hari raya.

Dalam gembira menerima peluang tersebut, Vanessa Reyauld dan Pasya mengakui menyanyikan lagu Halaman Asmara dalam versi baharu cukup berat untuk digalas kerana versi asalnya sudah terlalu hebat dan tiada tandingan.

Mengakui risau diberikan mandat itu, Vanessa atau nama sebenarnya Vanessa Ben Reynauld, 22, berkata dia tetap mencabar dirinya.

Mereka mampu mendendangkan lagu Halaman Asmara dengan gaya tersendiri.

Hakikatnya, rasa teruja dan bangga melebihi debarannya.

“Secara peribadi, saya sangat suka lagu ini dan rasa ia tidak kedengaran seperti lagu raya pun tapi lebih kepada lagu balada yang besar. Apabila dapat tahu saya kena duet dengan Pasya untuk lagu Halaman Asmara, saya teruja jadi penerus legasi sebab lagu ini memang ikonik.

“Setiap lagu yang saya bawakan, saya cuba untuk memahami liriknya serta jalan cerita sebelum nyanyikannya. Saya mahu suntik perasaan sendiri dalam lagu itu supaya pendengar pun dapat rasa apa yang sepatutnya dirasakan,” kata Vanessa.

Tambah Vanessa, projek merakam semula versi baharu Halaman Asmara bersama Pasya sebenarnya tidak dirancang.

Idea nyanyi lagu raya secara berduet terjadi secara spontan ketika bulan puasa.

Tanpa perlu fikir lama, dia terus bersetuju sahaja kerana sudah tahu cara nyanyian dan kemampuan vokal Pasya. Namun begitu, dia akui cabaran utama bukan pada kemampuan mencapai nota tinggi, sebaliknya lebih daripada itu.

Pasya mempunyai vokal yang unik.

“Kita semua tahu lagu ini cukup mencabar vokal dan untungnya laras vokal kami berdua memang luas. Untuk mencapai notanya bukan masalah tapi yang mencabarnya adalah percubaan lari daripada identiti penyanyi asal,” katanya.

Sementara itu, Pasya atau nama sebenarnya Faizul Asyraf Fauzi, 28, berkata, dia tidak risau merakam semula kerana Halaman Asmara adalah lagu kegemarannya.

Baginya, dapat menyanyikan semula lagu yang sangat ikonik ini buat dirinya terharu dan teruja.

Berkongsi proses rakamannya, Pasya bersyukur bukan susah buatnya menghayati lagu ini dengan baik di studio.

Dia turut berbesar-hati dipadankan dengan Vanessa untuk projek cukup bermakna ini.

“Dari segi penghayatan, sememangnya sampailah mood raya itu disebabkan proses rakaman lagu ini juga dirakamkan pada bulan Ramadan. Kebetulan ia sudah menjelang sambutan Aidilfitri.

“Vanessa pun memang seorang penyanyi yang bagi saya cukup berpengalaman. Dia memiliki kepelbagaian warna suara dalam nyanyiannya. Itu menjadi kelebihan tersendiri untuknya kerana bukan saja ada vokal mantap malah sangat versatil,” katanya.

Pasya tidak menafikan terbit rasa gusar juga sekiranya versi Halaman Asmara baharu ini akan dibayangi versi asal. Namun dia yakin keunikan tersendiri sudah disuntik mereka dalam menghidupkan lagu itu agar tampil lebih segar.

“Bab perbandingan memang paling seram sekali. Tapi mestilah bersedia untuk itu sebab mesti akan ada yang bandingkan. Apapun, saya secara peribadi rasa tak wajarlah bandingkan kami yang kerdil ini dengan penyanyi asal,” ujarnya.

Dua penyanyi makin bersinar ini cukup mengagumkan kerana pencapaian mereka sejak menyertai industri muzik tempatan. Selain memiliki vokal hebat, Vanessa pernah terpilih untuk kempen Equal oleh platform penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

Wajah Vanessa juga pernah terpampang di papan iklan ikonik di New York Times Square, Amerika Syarikat. Selain itu, lagu duetnya bersama Naqiu berjudul Rindu Separuh Nyawa berjaya meraih dua kali ganda platinum dalam tempoh setahun.

Manakala, Pasya pula berjaya dinobatkan tempat ketiga program nyanyian realiti, Lagu Cinta Kita musim ketiga (LCK3). Meskipun bukan juara, nama Pasya pantas meniti di bibir peminat disebabkan keunikan vokalnya.

Halaman Asmara boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube & YouTube Music.

— BebasNews

Leave a Reply