ISMAIL Sabri Yaakob

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  mengumumkan beberapa berita gembira sempena Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Peringkat Kebangsaan, hari ini yang antaranya peruntukan berjumlah RM21 juta bagi kesemua 317 tanah rancangan Felda.

“Sempena ulang tahun penubuhan Felda yang ke-66 tahun ini, saya ingin umumkan peruntukan khas sebanyak RM66 ribu bagi kesemua 317 rancangan yang keseluruhannya berjumlah RM21 juta,” katanya di Padang Awam Felda Rentam, Bera, Pahang.

Turut menggembirakan golongan peneroka Felda ialah agensi kerajaan itu katanya, akan memperuntukkan RM6.1 juta dana pengurusan tahun 2022 bagi mengambil alih pengurusan pusat mengumpul getah (PMG) daripada FGV Rubber Industries Sdn. Bhd.

“Saya juga mendengar keluh kesah peneroka tanaman getah yang runsing dengan harga getah yang rendah. Kerajaan dan Felda tidak pernah meminggirkan peneroka tanaman getah ini.

“Dengan pengambilalihan ini, FELDA dan FGV Rubber Industries telah mencapai persetujuan untuk mengurangkan kos operasi kilang sebanyak 23 sen bagi setiap kilogram getah kering dengan tambahan 5 sen apabila mencapai sasaran bulanan.

“Keseluruhan pengurangan sebanyak 28 sen ini akan memberikan tambahan pendapatan RM11.2 juta bagi 10,707 peneroka tanaman getah,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan yang bertemakan ‘Kejayaan Dalam Keberkatan’.

Sebanyak RM10 juta juga diperuntukkan Felda katanya, dalam menyediakan lebih banyak peluang kepada usahawan dalam kalangan generasi baharu Felda untuk meningkatkan kapasiti perniagaan atau memulakan perniagaan.

“Pinjaman tanpa faedah ini diberikan dengan nilai minimum RM5,000 hingga maksimum RM20,000 mengikut pakej. Usahawan belia Felda yang berminat boleh memohonnya mulai Ogos ini,” katanya.

Menurut Ismail, sewaan bulanan berjumlah RM7.6 juta yang telah dibayar 2,025 penghuni Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan sewaan selepas ini akan dijadikan deposit apabila mereka membeli kediaman PGBF tersebut.

Sebagai contoh, bayaran sewaan selama 36 bulan berjumlah RM10,800 akan dijadikan deposit lantas mengurangkan pembiayaan satu unit rumah tengah yang berharga RM90,000 kepada RM79,200 sahaja, katanya.

“Bagi baki 1,400 unit PGBF yang belum disiapkan dengan kos pembangunan keseluruhan RM204 juta, Felda akan meneruskannya melalui inisiatif pembiayaan swasta iaitu pemaju akan menanggung kos pembinaan tanpa memerlukan dana Felda.

“Projek rintis akan dilaksanakan di FELDA Bukit Aping Timur dan FELDA Pasak di Johor serta FELDA Chiku 5 di Kelantan,” katanya.

Jelas Perdana Menteri, dana berjumlah RM20 juta juga diperuntukkan dalam membantu generasi baharu dan memudahkan proses pembiayaan pembinaan rumah di lot generasi ini menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman-pinjaman perumahan mereka.

Sebagai penghargaan atas kesungguhan warga Felda memperindah rancangan mereka, kerajaan katanya turut menaikkan hadiah tempat pertama Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF) daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

 

Leave a Reply