city, skyline, buildings
Photo by Pexels on Pixabay Gambar hiasan
Oleh Mahathir Mohd Rais

KUALA LUMPUR — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu meneliti semula prosedur permohonan lesen peniaga dan penjaja kecil bagi membolehkan rakyat menjalankan perniagaan berlesen mereka secara sah.

Dalam keadaan ekonomi negara yang semakin gawat dan membebankan ini, pihak kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan perlu memberi perhatian tentang perkara ini.

DBKL perlu memperbaiki tatacara kelulusan permohonan dan pemberian lesen dengan memendekkan tempoh memproses lesen dari 30 hari kepada 3 hari.

Mengapa rakyat perlu menunggu hingga berbulan untuk mendapatkan lesen perniagaan?

Adakah kerajaan ingin menggalakkan peniaga atau penjaja berniaga tanpa lesen?

Kementerian harus komited dalam usaha meningkatkan inovasi dengan mengurangkan birokrasi serta mempercepatkan proses tertentu yang berkaitan perolehan.

Setiap masalah yang dikenal pasti kementerian harus diberi perhatian serius bagi memastikan semua peruntukan sedia ada dibawah jabatan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sistematik.

Ramai rakyat mengadu tentang kelakuan penjawat awam yang bekerja di jabatan-jabatan kerajaan, kebanyakan mereka menghabiskan waktu bekerja untuk tujuan lain.

Sikap melengah-lengahkan urusan tanpa menepati masa, rasuah berleluasa, tidak menghormati rakyat, melanggar peraturan dan segala macam lagi perkara-perkara negatif yang tidak perlu saya ceritakan disini.

Tidak dinafikan, ada sebahagian besar daripada mereka ini membantu tetapi dek kerana birokrasi ‘melampau’ rakyat hari ini menjadi mangsa.

Jika Menteri bertanggungjawab bersikap sambil lewa dan acuh tidak acuh, maka sudah pasti ia akan menjejaskan imej dan integriti keseluruhan kementerian itu sendiri.

Kes salah guna kuasa diselimuti amalan rasuah makin berleluasa dikalangan penjawat awam.

Saya cadangkan kepada semua kementerian untuk menukarkan mana mana pegawai atau pembantu tadbir yang lama bertugas disatu-satu bahagian atau unit kepada penempatan baru secara berkala. Apabila terlalu lama mulalah berlaku rasuah dan salah guna kuasa.

Kementerian harus dipertanggungjawabkan dalam menangani masalah ini, demi menjernihkan semula imej dan integriti pihak berkuasa tempatan yang kian tercalar pada pandangan masyarakat akibat daripada perbuatan segelintir individu yang tidak amanah.

Mahathir Hj Mohd Rais merupakan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply