Ini adalah kali kedua Fourtwnty mengadakan persembahan di Malaysia.

DALAM kalangan peminat muzik arus perdana, mesti terpinga-pinga bila diberitahu bahawa kumpulan Fourtwnty dari Indonesia akan mengadakan konsert di Kuala Lumpur.

Eh! Band apa tu? Lainlah kalau sebut Sheila On 7, Dewa 19,  Slank, Seventeen, Ungu, Gigi atau Padi, mesti teruja nak pergi menonton.

Cuba sebut nama Fourtwnty kepada peminat muzik indie, sepantas kilat mereka tahu senarai lagu kumpulan tersebut seperti Nyanyian Surau, Zona Nyaman, Kursi Goyang  atau Aku Tenang. Itulah bezanya antara peminat muzik indie dengan arus perdana.

Kita yang tak mengikuti perkembangan muzik indie mesti anggap Fourtwnty yang dianggotai Ari Lesmana (vokalis), Nuwi dan Roots, kumpulan biasa-biasa saja.

Sambutan hangat setiap kali Fourtwnty mengadakan persembahan.

Sebenarnya Fourtwnty yang ditubuhkan pada 20 April 2010 setara dengan band lain di Indonesia walaupun lagu-lagu dendangan mereka santai tanpa perlu bernada tinggi. Lagu-lagu Fourtwnty mirip kepada lagu-lagu berbentuk puisi.

Kekuatan band itu terletak kepada karya yang dicipta. Boleh dikatakan setiap lagu dendangan Fourtwnty ada penceritaan tersendiri menerusi bait-bait yang puitis.

Bagi yang belum mengenali Fourtwnty dan mahu mendengar suara Ari Lesmana melantunkan lagu-lagu popular kumpulan tersebut, jangan lupa untuk hadir ke Konsert Fourtwnty Heliotropisme Live in Zepp Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam, 1 Oktober 2022.

Ini adalah kali kedua Fourtwnty hadir menjayakan konsert dan untuk Heliotropisme Live in Zepp, pihak yang bertanggungjawab membawa kumpulan dari Jakarta itu ke sini adalah Shiraz Projects.

Tiket untuk konsert Fourtwnty habis dijual dalam tempoh yang singkat.

Kenapa Heliotropisme? Ini kerana judul yang sama merupakan konsert tour Fourtwnty di 10 buah lokasi di Indonesia antaranya Medan, Makassar, Malang, Palembang dan Yogyakarta.

Dan judul yang sama dibawakan khas ke Malaysia sebagai salah sebuah lokasi dalam rangkaian tour tersebut. Nama Heliotropisme sendiri diambil dari kisah bunga matahari yang hidup di dataran tinggi dengan cuaca tropika.

“Sama seperti logonya, di mana bunga matahari selalu menghadap ke arah matahari, Fourtwnty juga dengan senantiasa melihat dan mengikuti apa yang ingin menjadi keinginan penggemar,” jelas Fourtwnty.

Konsert Fourtwnty yang dinamakan Heliotropisme ini juga menyimpan harapan yang menarik. Fourtwnty ingin terus tetap hidup dan memberikan keindahan bermuzik di mana pun mereka berada. Seperti bunga matahari yang mampu hidup di mana pun ia berada.

Buat Fourtwnty yang didirikan pada April 2010 ini, harapan mereka supaya konsert ini nanti akan dapat mengubat kerinduan para peminat mereka yang menunggu kemunculan mereka lagi di Kuala Lumpur.

“Semoga konsertnya berjalan lancar, tidak berdepan masalah dan intinya lanca. Moga konset ini dapat mengubat kerinduan para peminat di Malaysia,” ujar Ari Lesmana.

Anggota Fourtwnty ingin menyajikan sebuah konsert yang bersifat peribadi buat mereka bukan hanya kepada peminat tegar tetapi juga buat penikmat muzik.

Buat Shiraz yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, melihatkan populariti dan inti muzik Fourtwnty yang menarik serta cukup unik membuatkan pihaknya berhasrat membawakan kumpulan terkenal Indonesia itu sejak sebelum pandemik lagi.

“Kami sudah bertemu mereka sebelum pandemik lagi dan akhirnya kami bersyukur dapat melaksanakan konsert ini kelak di Zepp Kuala Lumpur khas buat para peminat di Malaysia,” ujar Shiraz.

Tiket konsert yang dijual di www.mytickets.asia pada harga RM500 (Meet and Greet), RM200 (Diamond – Free Standing), RM150 (Platinum – Free Standing) RM200 (Gold – Seated) dan RM150 (Silver – Seated), habis dijual dalam tempoh yang singkat.

Peminat-peminat Fourtwnty juga akan beroleh cenderamata eksklusif apabila membeli tiket Meet & Greet. — BebasNews

Leave a Reply