PEMBELIAN rumah berharga RM500,000 dan ke bawah akan diberikan pengecualian duti setem sebanyak 100 peratus menerusi inisiatif pemilikan perumahan Keluarga Malaysia (i-Miliki) bagi mendukung Program Pemilikan Kediaman (HOPE).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan inisiatif itu, berkata, pengecualian diberikan terhadap surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama secara peringkat atau menurut tahap (tier) harga rumah.

“Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian duti itu ialah 50 peratus.

“Pengecualian ini membabitkan perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh dari 1 Jun ini sehingga Disember 2023,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran HOPE di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, hari ini.

HOPE dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) serta Media Prima Berhad.

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) bersama-sama tetamu kenamaan. – Foto FB RMNM

Meskipun pengecualian duti setem ini akan mengurangkan kutipan hasil kepada negara, langkah itu katanya membuktikan komitmen kerajaan kepada Keluarga Malaysia yang harus diperkukuhkan.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan, tuntutan pengecualian duti setem di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dari 2019 hingga tahun lalu ialah sebanyak RM957.8 juta.

“Tuntutan pengecualian duti setem paling tinggi ialah bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah,” kata Ismail yang mengakui agenda perumahan begitu dekat dengan hatinya dan dijadikan satu prioriti dan tiada kompromi.

“Rumah yang selesa akan melahirkan Keluarga Malaysia yang harmoni dan bahagia. Semua orang mahukan kediaman sebagai tempat berlindung ibarat sebuah syurga.

“Program rasmi terawal saya sebagai Perdana Menteri juga pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia untuk membantu Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan kadar sewaan yang minimum,” katanya.

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) membelek model rumah HOPE sambil diperhatikan tetamu kenamaan. – Foto FB RMNM

Ismail menambah, kerajaan juga dengan gagasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah’, memutuskan untuk mengaktifkan semula Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang turut membabitkan kerajaan persekutuan dan negeri, pemaju swasta dan Bank Negara Malaysia serta badan-badan berkepentingan seperti Khazanah, REHDA dan Persatuan Pembeli Rumah (HBA).

Kerajaan katanya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), menyasarkan untuk menyediakan 500,000 unit rumah mampu milik manakala menerusi MPMMN, subsidi akan diberi dan tanah disediakan kerajaan negeri selain bank mempermudahkan pembiayaan supaya rumah dapat dijual atau dibeli dengan harga berpatutan.

“Saya juga cukup gembira apabila Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia atau i-Biaya dilancarkan kementerian dengan kerjasama Kementerian Kewangan bagi memudahkan pemilikan kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda.

“Satu pemetaan Indeks Harga Rumah Mampu Milik yang pertama seumpamanya sedang dibangunkan sebagai panduan kepada Keluarga Malaysia tentang harga rumah mampu milik di seluruh negara,” katanya.

ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kanan) berdiri diberikan penghormatan bersama-sama tetamu kenamaan lain. – Foto FB RMNM

 

Leave a Reply