KUALA LUMPUR -– Seramai tiga lagi individu ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.
Ini merupakan susulan terhadap penahanan reman 37 individu oleh SPRM semalam.
Penahanan reman tiga suspek yang terbaharu termasuk seorang ketua kerani kanan daripada sebuah jabatan kerajaan, dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan Mahkamah Majistret Georgetown pagi tadi.
Di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Majistret Melody Woon Sze Mun membenarkan permohonan reman selama tiga hari terhadap seorang kakitangan jabatan kerajaan terbabit bermula hari ini sehingga 17 Julai 2022.
Menurut sumber, suspek berusia 41 tahun itu ditahan di SPRM Johor kira-kira pukul 7.45 malam semalam ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek dipercayai menerima wang berjumlah RM5,000 daripada salah seorang pemilik syarikat sebagai balasan untuk membantu syarikatnya dalam urusan tuntutan bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja.
Tambahnya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Georgetown, Majistret Rosnee Mohd. Radzuan membenarkan permohonan reman selama enam hari terhadap dua lagi suspek lelaki, masing-masing berusia 40 dan 26 tahun bermula pada hari ini sehingga 20 Julai 2022.
Kata sumber, kedua-dua suspek ditahan di SPRM Pulau Pinang masing-masing pada pukul 6.50 malam dan 7.25 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.
Katanya, mereka dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butiran matan palsu secara dalam talian kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menuntut bayaran insentif pengambilan pekerja dan latihan daripada PERKESO di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Katanya lagi, kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan tidak menolak kemungkinan akan membuat beberapa tangkapan lagi dalam tempoh terdekat. — BebasNews