Benih ketam bakau dilepaskan di Tasik Sitompok Kuala Penyu.

KUALA PENYU — Sebanyak 2,600 ekor benih ketam bakau dilepaskan di Tasik Sitompok, Kuala Penyu, baru-baru ini.

Program kerjasama antara Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia
Sabah (UMS) dan Jabatan Perikanan Sabah itu bertujuan menambah stok perikanan dan
hidupan air di tasik berkenaan.

Menurut kenyataan IPMB di sini, benih ketam bakau yang dilepaskan adalah daripada spesies Scylla tranquebarica yang dihasilkan di Hatceri Krustasia institut berkenaan.

“Spesies ketam bakau ini dipilih kerana ia merupakan spesies ketam bakau yang dominan di perairan Sabah.

“Benih ketam yang dilepaskan bersaiz diantara 5 mm hingga 25 mm lebar karapas dan
berumur dalam 8 minggu selepas penetasan di Hatceri Krustasia,” demikian menurut
kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sebahagian penyelidik IPMB UMS dan kakitangan Jabatan Perikanan Sabah
terlibat dalam pelepasan benih ketam bakau.

Kenyataan itu memaklumkan, hasil kajian penyelidik UMS mendapati bahawa hasil
tangkapan ketam bakau di perairan Sabah kini semakin berkurangan.

“Aktiviti akuakultur menggunakan benih yang dihasilkan di pusat penetasan adalah amat
penting untuk terus membangunkan industri penghasilan ketam bakau pada masa hadapan.

“Pada masa sama, ia bagi memulihara stok ketam bakau bagi memenuhi permintaan
tempatan dan luar negara.

“Sehingga kini, bekalan ketam bakau bergantung hampir sepenuhnya daripada
penangkapan stok liar ketam yang diperolehi daripada habitat semula jadi,” ujar kenyataan
itu lagi.

Program tersebut disempurnakan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan
Sabah, Azhar Kassim. Turut hadir, Pengurus Hatceri Krustasia IPMB UMS, Prof. Madya Dr. Annita Yong Seok Kian. – BebasNews

Leave a Reply