
KEMBOJA — Keprihatinan rakyat Malaysia beragama Islam terhadap perkara kebajikan berkaitan dengan ibadah korban tidak hanya terhad kepada keperluan dalam negara.
Ini dapat dibuktikan dengan kesediaan empat orang dermawan dari Jerantut, Pahang yang sanggup bersusah payah pergi ke Kemboja bagi menyempurnakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha 1443 (Hijrah) lalu.
Dermawan yang menyempurnakan ibadah tersebut sebagai mewakili anggota keluarga mereka adalah terdiri daripada Ahmad Nazlan Idris, Mohd. Rafiq Fateh Mohamad, Kamaruddin Ariffin Idris dan Yusof Che Daud.
Ibadah korban menyembelih lapan ekor lembu itu mendapat kerjasama penduduk Islam tempatan keturunan Melayu Champa antaranya berlangsung di Kampung Chimaan dan tujuh buah kampung lain dalam daerah Ponyekrek, Kemboja.

“Kami bersyukur kepada Allah dan berterima kasih atas kesudian dermawan dari Malaysia yang sanggup datang melakukan ibadah korban di Kemboja,” kata Rumly Yusof, 41, Imam Masjid Diyauttin Kampung Chimaan, Ponyekrek, Wilayah Tbongkhmom, Kemboja.
Menurut Rumly, penduduk Islam Melayu Champa yang majoritinya miskin hanya berpeluang makan daging sekali setahun sempena Hari Raya Aidiladha jika ibadah korban itu diadakan, termasuk oleh saudara Islam dari Malaysia.
Katanya, paling menyedihkan ialah dua tahun lalu ketika pandemik Covid-19 melanda sebahagian besar dunia, penduduk Islam Melayu Champa di Kemboja langsung tidak dapat menikmati daging yang biasanya diperoleh daripada aktiviti ibadah korban.
Beliau menjelaskan, lembu yang diperoleh untuk ibadah korban itu dibeli daripada penduduk tempatan yang beragama Buddha.

Rumly berkata, setiap ekor lembu yang dibeli menerusi peruntukan dermawan dari Malaysia itu berharga sekitar RM2,500 hingga RM3,000.
“Berbanding penduduk Islam Melayu Champa tidak berkemampuan untuk membeli lembu kerana kemiskinan berpendapatan di bawah RM500 sebulan,” ujarnya.
Masalah lain yang dihadapi oleh penduduk Islam tersebut, kata Rumly, mereka tidak mendapat akses bekalan air bersih dan bagi mengatasi masalah itu, kaum Melayu Champa memerlukan penyediaan telaga pam air perigi.
Sehubungan itu individu dermawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia yang bersimpati terhadap masalah bekalan air bersih bagi keperluan harian penduduk Islam Melayu Champa boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan cara menghubungi Rumly Yusof +855972003592. — BebasNews

NAZERI NONG SAMAH berasal dari Jerantut, Pahang. Mula bergiat dalam bidang penulisan sejak di bangku sekolah rendah darjah lima (1971). Selepas tamat tingkatan 5 (1976) menjadi penulis sambilan di akhbar Kumpulan Utusan Melayu. Menjadi pemberita tetap dengan akhbar Utusan Malaysia selama 36 tahun (1982-2018).