SEMALAM baru berkesempatan tengok cerita Mat Kilau ni. Cerita yang dikatakan mencetus fenomena baru dalam kutipan yang kini dah mencecah lebih RM80 juta. Alhamdulillah. Tahniah kepada produser, pengarah, pelakon dan semua warga kerja terlibat dalam pembikinan filem sejarah yang hebat tahun ini.

Filem ini pasti telah membuka mata ramai manusia terutama di kalangan sahabat sebangsa dan seagama saya.

Terima kasih kerana filem ini memudahkan saya untuk lebih memahami perjalanan sejarah lama negara dan bangsa. Saya tahu ada buku sejarah mengenainya tapi sampai sekarang baca pun tak khatam lagi. Cerita bab Inggeris yang menjajah, bab Inggeris yang nak mengambil kekayaan negara bagi saya jatuh nombor dua.

Tetapi dalam filem sejarah ini mengisahkan betapa sikap sebahagian sahabat sebangsa dan seagama saya yang memang dari dulu ada busuk hati, dengki hati, khianat, itu sebenarnya yang menusuk kalbu. Seperti ditikam oleh Mat Kilau.

Betapa sikap inilah sebenarnya yang membunuh bangsa sendiri.

Pahlawan Mat Kilau, tetap hatinya berpegang pada agama, berjuang kerana Allah.

Betapa amanah berat yang dipikul sebagai pemimpin itu nanti akan disoal dan perlu dijawap pada Allah SWT bukan pada siapa-siapa. Dia juga hanya takut pada Allah SWT.

Bagi akak, filem ini telah menyingkap pelbagai rasa dalam jiwa. Mencuit dan menyelak rasa hati, lantaran sepanjang filem bercucuran air mata tanpa di minta (kalah filem Hindustan weiii).

Akhir cerita, kata-kata Mat Kilau yang sempat akak hafal dalam usia dengan sel-sel otak yang dah kurang nak bercantum ni (mungkin ada tak silap) berkata, orang Melayu tak kan kekal mulia kerana adat, budaya dan kesultanan.

Tapi kekal mulia kerana Islam, Iman dan berpegang ke jalan Allah SWT. Itulah matlamat hidup kita pun.

— BebasNews

Leave a Reply