formula 1, truck, red
Photo by GREGOR on Pixabay Gambar hiasan

“HATI-HATI dengan lori kepala merah!” Ingatan ini sering diberi oleh emak dan kakak kepada penulis yang ketika itu masih kecil dan bersekolah rendah, dalam tahun 60-an. Kepala merah bererti bonet lori berwarna merah.

Tidak dapat penulis fahami kenapa perlu takut dengan lori kepala merah sehingga penulis kerap ‘menyorok’ apabila nampak lori sedemikian di jalan raya. Sehingga memasuki sekolah menengah dan menaiki basikal melalui jalan raya ke sekolah, penulis sangat berjaga-jaga apabila ternampak lori kepala merah.

Mungkin emak berpesan seperti itu kerana lori kepala merah nampak garang dan menggerunkan. Kebetulan ada beberapa kemalangan berlaku di kawasan jalan raya dekat kawasan melibatkan lori kepala merah. Kerana itu barangkali timbul anggapan lori sedemikian berbahaya dan mesti dijauhi.

Cuma masa itu emak tidak pernah berpesan menjauhi treler kepala merah. Mungkin terma treler sangat asing dan kenderaan tersebut memang jarang lalu lalang. Lori sahaja yang popular.

Namun setelah dewasa penulis berfikir, lori atau treler walau apa pun warna bonetnya, adalah kenderaan berat yang memang mendatangkan bahana besar jika berlaku kemalangan melibatkannya. Ia adalah umpama ‘raja jalan’ persis durian.

Kenderaan lain pula ibarat timun. Menggolek luka, digolek pun luka. Jika berlaku kemalangan, jarang sangat berlaku kecederaan kepada pemandu lori dan treler sementara pemandu kenderaan lain parah atau maut.

Jika diteliti, banyak kemalangan maut kini melibatkan lori dan treler. Antara yang terbaharu empat sekeluarga dari Sungai Petani maut di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Ipoh kerana dilanggar treler. Pemandu treler tersebut dikatakan mengantuk.

Dalam suasana hari raya Aidilfitri lalu, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar rentung apabila kenderaan yang mereka naiki terhimpit antara dua treler apabila kereta itu dilanggar oleh treler dari arah belakang. Di hadapan kereta itu juga treler.

Ini sekadar contoh. Banyak lagi kemalangan maut melibatkan lori dan treler. Sehingga di perhentian lampu isyarat pun ada treler yang melanggar kenderaan berhenti.

Pelbagai alasan diberi sebagai punca kemalangan melibatkan kenderaan berat ini. Ada kerana pemandu di bawah pengaruh dadah. Ada kerana mengantuk dan terlena. Selain itu kerana brek tidak berfungsi.

Yang menjentik hati ialah apabila pihak berkuasa, khusunya pasukan polis, akan segera mengeluarkan statistik bahawa pemandu kenderaan berat yang terlibat dengan kemalangan mempunyai berbelas hingga puluhan saman jalan raya.

Pihak polis seolah-olah hendak memberi justifikasi kenapa kemalangan berlaku. Pemandu mempunyai begitu banyak saman yang bermakna pelbagai pelanggaran peraturan jalan raya. Kerana itu tidak hairan dia terlibat kemalangan lagi.

Penjelasan ini sebenarnya lebih mendatangkan rasa tidak puas hati dan geram orang ramai.  Soal mereka, apakah tindakan pihak polis sendiri dalam menangani isu pemandu yang ‘kaya’ dengan saman sebelum insiden berlaku?

Kenapa hanya didedahkan berapa saman telah dikutip oleh pemandu setelah kemalangan berlaku. Kenapa pemandu yang mempunyai begitu banyak saman masih dibenarkan berkeliaran di jalan raya sedangkan sudah diketahui risiko besar membiarkan mereka terus memandu.

Pemilik syarikat lori atau treler mesti bertanggung jawab memantau pemandu mereka. Jika didapati telah melakukan pelbagai kesalahan, mereka tidak seharusnya dibenarkan bertugas. Namun berapa ramai pemilik yang mahu berbuat demikian? Yang penting lori bergerak dan barangan dihantar.

Sepatutnya kenderaan berat perlu diperiksa sepanjang masa untuk memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik dan selamat. Jika timbul alasan brek tidak berfungsi misalnya, menunjukkan kenderan tidak diservis dan dijaga dengan baik. Yang menerima padah adalah pengguna jalan raya lain.

Lori atau treler yang biasanya membawa barang berat kini dilihat sebagai objek menakutkan yang sering menyebabkan kemalangan maut. Stigma ini akan berterusan jika tindakan drastik tidak diambil seperti membatalkan lesen pemandu yang banyak saman dan terlibat dengan kemalangan serta menghadapkan mereka ke muka pengadilan.

Selain itu kenderaan berat yang tidak dipantau dan diurus dengan baik, serta dibiarkan berada di atas jalan raya sekali pun dalam keadaan tidak sempurna, wajar disita. Pemilik yang mengabaikan aspek keselamatan mesti dihukum.

Jalan raya sepatutnya menjadi tempat selamat untuk semua. Tidak harus ada yang cuba bermaharaja lela di mendatangkan bencana kepada orang lain. Slogan ‘berhati-hati di jalan raya’ sering kali dilaung-laungkan. Namun ia tidak bermakna jika hanya sebahagian sahaja berhati-hati sedangkan ada yang tidak peduli kerana beranggapan diri sendiri adalah raja di jalan raya.

— BebasNews

1 COMMENT

  1. Benar sekali kata penulis apabila saya melihat sendiri bagaimana sebuah lori prime mover — kepala lori kontena membawa lori itu bagaikan membawa motosikal atau sebuah kereta di atas jalan raya JKR (jalan negeri) di kawasan Kuang, Selangor. Pemandu lori itu memotong dan memgambil laluan seperti bukan sebuah lori. Ini adalah kerana prime mover itu mempunyai kekuatannya yang begitu tinggi, lebih-lebih lagi semasa ia tidak menarik kontena.

    Pemandu seperti itu patut disekolahkan semula sewaktu lesennya digantung!

Leave a Reply