Ramai rakan artis hadir memberi sokongan untuk program mini konsert yang akan diadakan pada 30 Julai ini di GBH.

AKHIR-AKHIR ini banyak konsert yang diadakan di Malaysia dan sekali gus dapat menghilangkan rasa rindu peminat untuk menonton persembahan artis kesayangan mereka.

Namun kebanyakan konsert yang dianjur rata-rata menampilkan penyanyi muda atau popular. Manakala golongan artis yang pernah popular suatu ketika dulu seakan dilupakan dan tiada ruang untuk mereka berkarya serta mencari pendapatan.

Menyedari situasi tersebut, Hotel Grand Barakah (GBH) Jalan Ampang, Selangor mengambil inisiatif untuk membantu barisan penyanyi 60-an mengadakan persembahan di premis mereka.

Azman Aziz (tiga dari kiri) bersama Amran Nasrudin, S. Mariam, Jeffrydin, Abon dan The Zurah 3 pada sidang media, baru-baru ini.

Sebagai permulaan, GBH menganjurkan program berkonsepkan mini konsert untuk artis veteran 60-an, Datuk Jeffrydin yang membawa tema Mas Mona Night yang akan diadakan di Grand Ballroom, GBH pada pukul 8.30 malam, 30 Julai ini.

Selain Jeffrydin, lain-lain penyanyi 60-an yang turut mengadakan persembahan dengan diiringi oleh kumpulan The Zurah 3 ialah Datuk L.Ramlee, S. Mariam dan Abon pula bertindak sebagai pengacara pada malam itu.

Pengurus Besar GBH, Azman Aziz berkata, Mas Mona Night Dato’ Jefrydin merupakan pelancaran program pertama yang hotel tersebut lancarkan setelah sekian lama sunyi akibat Covid-19.

“Dalam program ini kita akan ketengahkan artis veteran tanah air, tujuan mengadakan acara Mas Mona Night ini adalah untuk memberi peluang kepada artis-artis berkarya di bidang masing-masing.

“Saya rasa berkarya ini merupakan satu terapi bagi mereka. Harap dengan adanya program sebegini dapat juga membantu artis kita untuk terus berkecimpung dalam seni dan membantu kehidupan seharian mereka,” katanya pada sidang media Mas Mona Night, pada 21 Julai baru-baru ini.

Ujarnya, Mas Mona Night merupakan program pertama dan akan diikuti dengan program hiburan lain yang akan mengetengahkan artis-artis veteran.

“Program macam mini konsert seperti Mas Mona Night, insya-Allah dua bulan atau sebulan sekali kita akan anjurkan. Di samping itu, kita akan adakan program santai petang hi-tea bersama artis-artis yang akan dipilih dalam kalangan artis veteran pada hujung minggu.

Persembahan Mas Mona Night pasti memgembalikan nostalgia irama Pop Yeh Yeh.

“Ini juga akan memberi peluang kepada artis untuk bekerjasama dengan GBH. Dalam perancangan, kita nak adakan mini konsert ini merangkumi artis 70-an, 80-an dan 90-an. Di samping mini konsert bulanan, kita juga akan ada Santai Bersama Artis Veteran pada hujung minggu untuk hi-tea,” katanya.

Jelas Azman, perancangan untuk menganjurkan mini konsert Mas Mona Night sudah lama cuma baru ada rezeki untuk menganjurkan program tersebut.

Tambahnya, pada malam tersebut, turut diadakan cabutan bertuah untuk penonton dan pencarian Mas Mona dalam kalangan penonton yang hadir akan diumumkan bagi mereka yang berpenampilan istimewa.

Bagi peminat-peminat irama Pop Yeh-Yeh yang ingin menonton persembahan Jeffrydin, L.Ramlee dan S.Mariam bersama The Zurah 3, boleh membeli tiket-tiket berharga RM108, RM148 dan RM198 dengan menghubungi GBH di talian 03-42707070, 019-7564070 (Rawi), 019-9614070 (Alma) dan 019-9624070 (Luqman). –BebasNews

Leave a Reply