Prof Datuk Dr Mohammad Shatar

MASYARAKAT Malaysia disaran memberi kerjasama kepada kerajaan dalam menangani kenaikan harga barang dengan melaporkan salah laku peniaga yang menjual barangan kawalan pada harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan.

Pakar Sosial, Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, ahli masyarakat yang juga golongan pengguna dinasihatkan untuk tidak hanya menghebahkan di media sosial tetapi lebih penting membuat laporan terus kepada pihak berkuasa andai berdepan dengan mana-mana kenaikan harga barang yang tidak munasabah.

Beliau berkata, mengambil tindakan menuduh dan memburuk-burukkan kerajaan menggunakan media sosial tidak akan membantu negara dalam menangani isu kenaikan harga barang.

Katanya, masyarakat perlu memberikan kerjasama yang proaktif dalam usaha membantu negara mendepani isu ini dengan cara membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil kepada mereka yang mengambil kesempatan tatkala kerajaan giat berusaha menangani masalah kenaikan harga barang.

“Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan satu pihak sahaja kerana ia bukanlah masalah domestik, tetapi berlaku di peringkat global, justeru menyalahkan kerajaan semata-mata adalah tindakan kurang tepat kerana di negara lain harga barangan turut melonjak termasuk di negara maju yang kini hangat memperkatakan mengenai kenaikan harga barang.

“Di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan harga siling dan subsidi pada beberapa barangan keperluan utama masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, umum mengetahui harga barang meningkat, malah ada yang naik jauh berbeza dari sebelumnya dan antara faktor utamanya ialah peperangan yang tercetus antara Rusia dan Ukraine yang menyaksikan barangan berasaskan gandum dan bahan bakar naik mendadak.

Katanya, impaknya, kenaikan harga barangan dirasai hampir di seluruh pelusuk dunia dan diburukkan lagi dengan kejatuhan nilai mata wang di beberapa buah negara termasuk Malaysia.

“Lebih malang, apabila kenaikan harga ini berlaku ketika masyarakat cuba untuk bangkit selepas dihentam pandemik Covid-19 sejak lebih dua tahun lalu.

“Jadi, diharap masyarakat dapat memberi kerjasama sewajarnya dan sama-sama membantu kerajaan dalam membanteras golongan yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang terutama barangan kawalan tanpa mematuhi had sepatutnya,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply