SEKALI air bah, sekali pasir berubah. Peribahasa Melayu ini mengandungi kebijaksanaan (wisdom) yang dalam pengertiannya, dan perlu mendorong umat manusia berfikiran waras dalam menghadapi qada dan qadar daripada Allah.

Antaranya, setiap musibah tentu ada iktibarnya; sesuatu krisis pasti mengandungi peluang keemasannya; dan sesuatu persengketaan wajar diselesaikan menerusi pendekatan yang menguntungkan semua pihak.

Lantaran itu, fenomena gila kuasa yang mencetuskan ketidakstabilan politik di sesebuah negara wajar disifatkan sebagai ancaman kepada pelbagai sektor keselamatan, terutamanya keselamatan politik, keselamatan rakyat (insan), dan keselamatan ekonominya.

Fenomena ini juga mengancam sektor keselamatan jati diri jika negara terbabit berbilang keturunan dan agama, serta mempunyai tahap sosioekonomi yang tidak seimbang atau luas jurangnya.

Padah fenomena ini semakin serius jika negara terbabit dicengkam rasuah dan salah guna kuasa, menghadapi situasi ekonomi tidak menentu akibat faktor dalaman dan luaran, serta digugat ancaman global bukan ketenteraan seperti pandemik Covid-19.

Jika tidak ditangani secara segera, tegas dan berkesan; fenomena ini boleh mengancam keselamatan nasional dan mungkin menjejaskan kemerdekaan, integriti wilayah, kedaulatan, kemajuan, dan kemakmurannya.

Huraian di atas bukannya propaganda. Tetapi, satu realiti yang diiktiraf dan disahkan oleh berbagai-bagai pertubuhan antarabangsa.

Laporan Pembangunan Manusia terbitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1995, berjudul “Dimensi Baharu Keselamatan Insan”, menegaskan, ancaman kepada keselamatan politik adalah faktor utama yang menjejaskan keselamatan insan,  keselamatan ekonomi, keselamatan makanan dan lain-lainnya.

Ini menunjukkan PBB mengikraf keselamatan politik adalah kunci kepada pelbagai sektor keselamatan, yang jika terancam, boleh menggugat lain-lain sektor keselamatan di sesebuah negara.

Malangnya, individu dan penyokongnya yang mencetuskan ancaman kepada keselamatan politik Malaysia sekarang seolah-olah enggan menerima hakikat keselamatan yang diketengahkan oleh PBB.

Ini sebabnya fenomena gila kuasa yang sedang melanda Malaysia memburukkan lagi situasi keselamatan akibat pandemik Covid-19, dan merumitkan usaha menangani isu keselamatan makanannya.

Ancaman pandemik Covid-19 dan isu keselamatan makanan sedang ditangani secara berkesan oleh pemerintah Malaysia menerusi pendekatan dasar dan kewangan yang terancang.

Tetapi, ancaman kepada keselamatan politik negara yang kelihatan semakin meruncing, hanya boleh di selesaikan oleh parti politik terbabit, pemimpinnya, dan ahlinya di semua peringkat.

Kini, mereka kelihatan semakin rancak berpolitik, bertelagah semasa sendiri, dan sentiasa meremehkan usaha pihak yang mempelopori jalan damai dan penyatuan kuasa Peribumi.

Perilaku politik ini semakin menggila hingga menimbulkan gambaran yang mereka sudah hilang pertimbangan dan hanya menentingkan kelangsungan diri mereka sendiri.

Sebilangan rakyat jelata, pembesar politik, penganalisis politik, pembentuk dasar, dan pengamal media pula seakan-akan tidak mampu melihat kaitan bahaya fenomena gila kuasa ini dengan keselamatan insan dan keselamatan nasional Malaysia.

Tanpa disedari, pihak yang prihatin mengenai perdamaian juga seakan-akan kehilangan inisiatif untuk memerangi fenomena ini secara tegas, sehingga mereka kelihatan turut terheret ke kancah politik negatif.

Perebutan kuasa politik secara sihat adalah demokratik. Tetapi, perebutan kuasa yang meminggirkan nilai-nilai politik yang murni perlu ditentang oleh semua pendukung dan pecinta demokrasi.

Maka, rakyat Malaysia dan pengamal serta pemimpin politik yang waras mesti bertindak secara kolektif untuk memerangi fenomena gila kuasa di Malaysia.

Perhebatkan lagi usaha damai, dan pelbagaikan lagi inisiatif pembentukan rangkaian kerjasama (coalition building) dengan kumpulan pencinta keselamatan di merata Malaysia.

Ini termasuk tindakan libat urus (engagement) dengan semua parti politik kecil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan sivil, dan organisasi akar-umbi.

Usaha ini amat perlu kerana sistem dua parti menerusi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sudah gagal.

Lantas, PRU15 akan ditandingi pelbagai gabungan kecil sehingga tiada satu pun pihak yang layak membentuk kerajaan selepas pilihan raya tersebut.

Kecelaruan politik ini masih boleh diselamatkan jika UMNO selaku induk BN sanggup mewaraskan dirinya untuk mendukung usaha penyatuan yang dirintis oleh Perikatan Nasional (PN).

Syaratnya, UMNO mesti bertindak berasaskan kebijaksanaan semasa, bukannya mengikut rentak kegilaan kuasa yang didalangi oleh sesetengah pembesarnya pada hari ini.

UMNO dan BN perlu insaf, kegagalan PH memerintah Malaysia di era selepas PRU14 adalah disebabkan oleh realiti demografi atau hakikat bahawa umat Peribumi, Melayu dan Islam; adalah warganegara “super majority” atau umat yang paling besar jumlahnya untuk mencorakkan kuasa politik Malaysia di Abad ke-21.

Maka, PRU15 adalah peluang keemasan yang wujud daripada kejatuhan PH, dan peluang ini sudah pun disambar oleh BERSATU dan PN yang membentuk kerajaan Malaysia selepas PH.

Inilah kebijaksanaan utama tindakan BERSATU membentuk Kerajaan PN yang dianggotai oleh PAS dan beberapa parti politik daripada Sabah dan Sarawak.

Hakikat “super majority” umat Peribumi, Melayu dan Islam ini juga yang mendorong PN membentuk kerajaan campuran bersama BN di era selepas PH.

Malangnya, Kerajaan PN ditumbangkan oleh sekumpulan 15 Ahli Parlimen UMNO, didakwa atas dorongan beberapa kerat pembesarnya yang kini dipersepsikan sebagai golongan gila kuasa.

Oleh itu, peluang keemasan yang wujud di sebalik kegagalan PH ini mesti dijadikan faktor utama kepada penyatuan UMNO dan BN dengan BERSATU dan PN; dan peluang ini mesti dijadikan realiti kuasa menerusi PRU15.

Lain-lain parti politik hanya boleh menganggotai gabungan BN dan PN ini dalam PRU15, jika mereka menerima realiti bahawa umat Peribumi, Melayu dan Islam sebagai warganegara “super majority” di Malaysia.

Lantas, segera ketengahkan naratif politik baharu yang selaras dengan realiti ini, dan secocok dengan senario ancaman keselamatan di peringkat negara, serantau dan sejagat.

Tetapi, pastikan naratif politik baharu ini tidak menafikan hak seluruh rakyat Malaysia yang sah dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peluang keemasan ini akan dikuburkan oleh peredaran zaman jika parti politik Peribumi dan gabungannya, seperti BN dan PN, gagal menyambarnya menerusi PRU15.

Lantas, jangan sia-siakan peluang ini hingga menyebabkan keunggulan kuasa politik Peribumi Malaysia pupus buat selama-lamanya.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply