Aisha tak percaya wajahnya mampu terpampang di sebuah papan iklan di Times Square, New York, Amerika Syarikat.

SATU persatu wajah artis Malaysia terpampang di papan iklan New York Times Square, Amerika Syarikat kerana pencapaian mereka.

Terkini wajah penyanyi Aisha Retno yang muncul dengan single Pencarianku beberapa bulan lalu, menghiasi papan iklan tersebut sebagai duta kempen Equal daripada Spotify, mewakili Malaysia dan Singapura untuk Julai 2022.

Bagi Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam, 22, rezeki yang tak dijangka itu membuatkan dia semakin tidak sabar untuk terus berkarya buat para peminat.

“Saya sangat-sangat bersyukur dan tentunya semakin berdebar selain tidak sabar untuk melancarkan single terbaharu saya berjudul Sutera bersempena perwakilan saya dalam kempen Equal ini untuk memperkasakan wanita.

“Kepada semua peminat, saya mahu ucapkan jutaan terima kasih. Tanpa anda semua, siapalah Aisha Retno yang sekarang. Anda tetap setia dengan saya sejak saya mula-mula menyertai program nyanyian hinggalah sekarang.

Aisha bakal muncul dengan single baharu, Sutera akhir bulan ini.

“Jadi, kemunculan saya dalam kempen Equal ini adalah sedikit cenderahati untuk anda semua. Seterusnya, nantikan hadiah yang akan datang pada akhir bulan ini, lagu Sutera yang banyak bersangkut paut dengan darjat seorang wanita,” katanya.

Tambah Aisha, meskipun baru dua tahun dalam bidang seni, namun atas usaha label Sony Music Entertainment Malaysia, namanya melonjak pantas.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada kempen Equal dan label saya, Sony Music Entertainment Malaysia yang tak putus-putus membantu dan sama-sama bekerja dalam industri hiburan ini.

“Walaupun baru dua tahun saya dalam industri, tetapi label saya banyak berusaha dan berjasa kepada saya untuk mengukir nama sebagai penyanyi.

“Kata-kata tak mampu menggambarkan betapa saya berterima kasih kepada mereka, saya juga amat berterima kasih kepada ibu dan bapa kerana mereka adalah tulang belakang saya selama ini.

“Ini baru titik permulaan, semoga Sutera yang bakal saya ancarkan tidak lama lagi mendapat sambutan hangat daripada para peminat,” katanya lagi.

Untuk makluman, Equal adalah satu kempen global dan ‘evergreen’ yang memperjuangkan ekuiti (haksama rata) wanita dalam muzik. Ia menampilkan senarai lagu Equal dan ‘sister program’ di 35 pasaran dan menembusi lebih 50 negara dari Jepun, Argentina, Poland dan United Kingdom.

Berdasarkan kajian Annenberg pada tahun 2020, industri audio tidak mendapat ekuiti sempurna kerana hanya satu daripada lima artis adalah wanita.

Justeru, pihak Spotify mengadakan kempen Equal di mana hasil karya wanita dapat didengari sepanjang tahun dengan lebih meluas oleh pencinta muzik.- BebasNews.

Leave a Reply