cell tower, 5g, signal
Photo by ArtisticOperations on Pixabay

KOTA BHARU — Kawasan Parlimen Ketereh dipilih sebagai lokasi pertama kawasan luar bandar di negara ini yang bakal menikmati perkhidmatan internet 5G yang berkelajuan tinggi.

Menurut Ketua Pengawal Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd. Yasin, projek tersebut akan memberi peluang kepada masyarakat luar bandar di kawasan berkenaan menikmati kebaikan perkhidmatan internet 5G.

“Inisiatif itu merupakan kerjasama kerajaan bersama SKMM, Telekom Malaysia Bhd. (TM), Digital Nasional Berhad (DNB) dan YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL).

“Perkhidmatan 5G menawarkan kelajuan internet sehingga melebih 1,000 megabit per saat (Mbps) kepada pengguna berbanding 35 Mbps bagi 4G.

“Teknologi 5G memiliki kemampuan kelajuan internet pada kadar 10 hingga 100 kali ganda berbanding 4G. Ia juga berupaya menghubungkan lebih 1 juta peranti bagi setiap 1 kilometer persegi,” katanya sempena Perasmian Hab Digital Ketereh dan 5G sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Zulkarnain berkata, Hab Digital Ketereh bakal dilengkapi dengan perkhidmatan 5G, kemudahan studio fotografi, studio siaran langsung dan penyuntingan video

Katanya lagi, kawasan itu juga akan akan memberi kemudahan kepada usahawan untuk menjalani latihan dan memperluaskan pasaran ke seluruh negara melalui platform digital.

“Perkhidmatan internet 5G ini dapat membantu usahawan mengadakan siaran secara langsung dengan sokongan kelajuan dan kapasiti yang mencukupi.

“Oleh itu, hasil daripada projek rintis ini akan dilihat dan ditambah baik untuk dilaksanakan di kawasan luar bandar yang lain,”katanya. — BebasNews

Leave a Reply