JATI diri sebagai orang Melayu dan beragama Islam perlu dipelihara oleh orang Melayu di negara ini.

Tugas ini bukan diletakkan di bahu pihak berkuasa atau Kerajaan Pusat semata-mata.

Filem Mat Kilau yang sedang hangat ditayangkan di pawagam adalah manifestasi perjuangan untuk menyedarkan generasi muda hari ini bahawa kemakmuran dan keamanan yang kita kecapi bukan datang dengan mudah.

Sebagai bangsa Melayu ia menjadi tanggungjawab hakiki tidak kira orang muda mahupun generasi terdahulu untuk menjaga nama dan maruah bangsa dan agama Islam.

Artikel 160 Perlembagaan Malaysia telah mentakrifkan pelbagai istilah yang digunakan dalam Perlembagaan Malaysia termasuk perkataan Melayu itu sendiri.

Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.

Kewujudan Perkara 160 (2) yang berkaitan dengan pemberian hak-hak istimewa ini perlu dilihat dan difahami daripada perspektif sejarah.

Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberikan Yang di-Pertuan Agong tanggungjawab untuk “menjaga kedudukan istimewa ‘Melayu’ dan penduduk asli mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah komuniti lain” dan seterusnya menentukan cara untuk melakukan ini (perkara-perkara tersebut), seperti mewujudkan kuota untuk masuk ke perkhidmatan awam, biasiswa awam dan pendidikan awam.

Perlembagaan Persekutuan sebagai ibu segala undang-undang sebagai kod peringatan orang Melayu untuk terus mengekalkan agama Islam, budaya Melayu malahan tanah milik ibu bapa mereka daripada tergadai kepada pihak lain.

Pada saat ini majoriti masyarakat Melayu bimbang dengan fenomena penghinaan terhadap agama Islam yang dianuti sejak beribu tahun lalu.

Kecintaan terhadap agama Islam menyebabkan penghina agama Islam menerima akibat kemarahan umat Islam terhadap kelancangan lisan mereka.

Denda dan hukuman yang berat perlu dikenakan kepada pihak yang menghina agama Islam dan menularkan ayat-ayat nista mereka.

Ini disebabkan golongan ini akan menyebabkan agama Islam yang dianuti orang Melayu tidak dihormati oleh generasi muda yang masih tercari-cari kiblat sebagai panduan hidup.

Sewajarnya penghinaan terhadap agama Islam, dibendung dengan membuat pindaan undang-undang hasutan, agar penghinaan agama diletakkan di bawah akta berkenaan.

Semoga satu langkah melindungi kesucian agama Islam dan sensitiviti orang Melayu digubal bagi memastikan generasi muda merasakan ada pihak yang komited untuk memelihara kesucian agama Islam yang dianuti datuk
dan nenek moyang kita sejak dahulu kala.

Jangan sampai generasi muda bertanya kepada pemimpin mereka, siapa diri mereka, apa jati mereka, jika bangsa mereka sendiri tergamak menghina agama Islam yang mereka cintai sejak dari kecil.

Buatlah sesuatu agar tiada lagi pihak yang berani menghina agama Islam walaupun dengan satu perkataan.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply