Liza

WALAUPUN telah bercerai pada tahun 2014 namun sehingga kini status pelakon popular, Liza Abdullah masih menjadi tanda tanya peminat. Adakah dia sudah berkahwin semula?.

Bercakap mengenai status terkininya, Liza Abdullah atau nama sebenarnya, Norliza Abdullah,58, ketika ditemui berkata,“Tak ada soalan lain ke? Akak ni dah makin berusia. Asyik-asyik tanya pasal kahwin dan kahwin. Cubalah tanya dah ada berapa orang cucu ke?…bestlah jugak.

“Ni jumpa Akak tanya pasal kahwin. Tak ada lagi… tak ada lagi. Buat masa ini tak lagi kot. Andai kata, Allah kata di penghujung usia masih berseorangan…Akak pasrah.

“Sunyi tu jangan cakaplah. Tapi kalau kita pandai penuhkan hidup dengan benda bermanfaat, tidaklah rasa sunyi hidup ini. Sekarang ini anak bujang yang juga merangkap pembantu Akak tinggal bersama, Zulsyahmi Naqib, 20.”

Liza bersama anak-anaknya, (dari kiri) Zulsyahmi Naqib dan Zulhaffiz Zarriq.

Ditanya lagi mengenai statusnya, jawab Liza,“Akak memang saja tak nak bagi tahu status. Saja nak orang tertanya-tanya. Kalau kahwin pun Akak akan senyap dan kalau jadi apa-apa pun Akak akan senyap juga.

“Bila bercerita, banyak pula persoalannya. Kadang kita tak kahwin orang kata dah kahwin…dah kahwin orang kata bercerai. Jadi biarlah benda tu kalau boleh …biarlah jadi rahsia peribadi Akak. Untuk hari dan detik ini, Akak bersyukur dengan apa yang Allah hadirkan untuk diri Akak.”

Liza yang telah mendirikan rumah tangga pada tahun 1988 sah bercerai dengan suaminya, Zolkifli Abdul Rahman pada 24 Februari 2014. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zulhaffiz Zarriq, 33, dan Nurwafiez Syahiddah, 29, Zulsyahmi Naqib, 20 dan Zulsyahmi Afif, 18.

Menyentuh perkembangan terkininya, Liza yang masih kelihatan cantik sejajar dengan usianya menambah,“Tak sangka dihujung-hujung usia begini, orang masih perlukan Akak untuk jadi jurucakap produk dan menjadi duta produk.

“Bukan itu saja, Akak juga masih berlakon, menyanyi dan mengacara. Ibaratnya, apa saja orang tawarkan, Akak terima dengan hati terbuka…rezeki. Penat atau tidak… itu belakang kira dan bergantung kepada dua keadaan

“Kita ni siapa? Pendapatan kita dari mana? Sebagai pelakon tidak ada istilah penat sebenarnya…tak kira pelakon muda ataupun yang tua. Kalau kita meletakkan rasa penat di hadapan, memang tak kemanalah kita.

“Memang Akak tidak nafikan sebagai manusia, ada sesekali fikir cukuplah… dah penat. Tapi penat itu ada dua, penat bekerja dan penat tidak bekerja. Tidak bekerja pun penat…lebih baik kita penat bekerja. Kini kerja pun ikut kesesuaian usia kerana masa Akak sendiri yang aturkan.”

Menurut Liza, pelakon 7 Hari Mencintaiku ini lagi, dia bersyukur kerana masih diberi memori yang kuat untuk menghafal serta mengingati dialog-dialog lakonan.

“Kerja sebagai pelakon ini memori kita kena kuat dan dalam usia begini Akak rasa bersyukur sesangat kerana Allah kurniakan badan dan daya ingatan yang kuat untuk terus bekerja.

“Setiap kali solat, Akak tidak pernah lupa berdoa agar tidak menyusahkan pelakon dan krew dilokasi. Sebagai pelakon kita kena fokus dan faham karakter yang diberikan. Akak tidak suka menghafal. Dialog bukan untuk dihafal…tapi dialog mesti hafal.

“Sebagai pelakon, seseorang itu kena fokus dan faham dialog, kemudian barulah kita lontarkan dialog tersebut. Kalau kita lontar tapi tak faham, kita tidak akan rasa. Sejak dulu lagi, itulah pendekatan yang Akak praktikkan. Kita kena faham, menguasai dan baru lontarkan. Berbalik pada usia dan masih ada memori yang kuat… mungkin kerana pengalaman dan sebati dalam diri.”

Kata Liza lagi, Janganlah Allah tarik nikmat kesihatan dan segalanya yang Allah telah berikan.

“Akak selalu ingatkan diri, kalau nak tarik diri atau berhenti berlakon biarlah dalam keadaan orang tengah suka. Akak tak nak dah sampai tahap menyusahkan orang. Bukan itu saja, dahlah tak ingat dialog, minta bayaran mahal. Mungkin ada yang bagi tapi kalau kita tak berikan lakonan yang bagus..malu dan harap sangat Akak tak jadi begitu.”

— BebasNews

Leave a Reply