Keluarga bahagia Ziela Jalil

MUNGKIN bagi sesetengah ibu bapa tidak sanggup berpisah dengan anak-anak. Apatahlah lagi jika anaknya masih dibawah umur. Namun ini tidak kepada pelakon dan penerbit, Dato’ Ziela Jalil yang sanggup menghantar anaknya Ibrahim Junid Abdullah, 10, ke Tarim, Yaman demi mendalami ilmu agama.

“Sedih tu memang sedih. Tapi Ziela redho demi masa depannya, Ziela kena kuat. Dulu dah pernah hantar belajar dekat sekolah agama di sini, tapi bila balik rumah dia sibuk bergayut dengan telefon dan menonton televisyen. Nak halang kesian pula bila dia kata kawan-kawannya boleh, mengapa dia tak boleh.

“Itu sebabnya bila dapat tawaran untuk belajar di Yaman tu Ziela rasa gembira… campur sedih. Ialah hati seorang ibu yang bakal berpisah buat seketika dengan anak tersayang.

“Ibrahim dan abangnya, Megat Jufri Nasrullah berangkat 7 Julai lalu. Abangnya buat Daurah selama 40 hari. Sementara kat sana tu boleh jugalah dia tengok-tengokkan adiknya buat seketika,” kata Ziela Jalil mengimbau kembali keadaan anaknya Ibrahim yang tidak menangis ketika dihantar ke lapangan terbang.

Ziela Jalil

Ziela Jalil pemilik syarikat produksi Pena Creative Pictures Sdn Bhd ini menambah, “Dua tahun pertama ini, Ibrahim tidak boleh bercuti dan kalau ingin berjumpa, Ziela yang harus kesana. Tahun ketiga nanti barulah Ibrahim ada cuti sekolah dan boleh dibawa balik atau keluar dari asrama.

“Mungkin dua tahun ini pihak sekolah ingin pelajarnya menjadi matang. Menurut Habib tempatnya belajar, pengajiannya mungkin hanya untuk empat tahun sahaja. Selepas itu terpulang sama ada nak bagi Ibrahim teruskan pengajian atau bagaimana.

“Ibrahim ini sangat strong budaknya dan bijak. Dia ada pendapatnya sendiri. Kalau dia kata tak nak, dia akan kata tak nak. Tapi bila kata hendak hantar dia belajar ke Yaman… dia tidak memberontak. Dia pergi sebab tahu mama hendak dia belajar disana.”

Menyentuh mengenai perasaanya yang kini terpaksa berpisah dengan anak-anaknya, Ziela menambah,“ Sunyi itu jangan cakaplah. Rumah Ziela memang sunyi sebab anak-anak semua tak ada di rumah. Hari-hari balik rumah memang Ziela menangis. Tidur pun Ziela peluk baju Ibrahim.

“Di Yaman tu internetnya slow. Nak bercakap telefon memanglah susah. Untuk lepaskan rindu Ziela minta abangnya, ambilkan video adiknya bercakap dan buat rakaman suara. Bila tengok muka Ibrahim… dalam hati terfikir… anak aku ni agaknya nak tidur mesti menangis. Tapi dia tak pernah tunjuk pada Ziela.. dia anak yang sangat baik dan taat.

Anak sulongnya Julia bersama keluarga yang kini berada di Ireland.

“Masa dapat surat tawaran belajar ke Yaman, Ziela nampak dia lap air mata dan bertanya esok ke nak pergi? Waktu itu, Ziela yang ‘barai’ dan menangis tanpa henti. Ibrahim pula yang pujuk Ziela… tak apalah mama… kan saya pergi tempat yang elok.”

Selain Ibrahim, Ziela juga mempunyai dua orang anak iaitu Dr. Puteri Julia Nabilah Megat Junid, 30, dan Megat Jufri Nasrullah, 28.

Kini anak sulongnya, Dr. Puteri Julia Nabilah berada di Ireland bersama suaminya, Dziya Faqhran dan dua anak mereka, Tun Alayna Zeeya dan Tun Ameena Zeeya.

“29 Jun lalu mereka sekeluarga sudah berhijrah ke Ireland. Kini mereka suami isteri bekerja disana. Itu yang buat Ziela bersemangat nak cari duit sebab nak melawat anak-anak dan cucu tidak lama lagi.

Ziela bersama anak bongsunya, Ibrahim Junid Abdullah

“Kalau ada rezeki, bulan Oktober ini, Ziela rancang nak tengok cucu di Ireland. Ada rezeki lagi, bulan 12 nak buat umrah dan sekaligus melawat Ibrahim… kalau ada rezeki. Hajat memang besar. Kalau pergi pun tak tahu boleh jumpa atau tidak… sebab sekolah Ibrahim ada peraturannya.,’’ ujar Ziela yang kini bahagia dengan suami barunya, Datuk Syed Osman Al Habshee yang dinikahinya pada 17 Februari 2019.

Bercakap mengenai penerbitan drama pula, jelas Ziela yang baru selesai membintangi teater Dara & Makcik Bawang,“Production Ziela dah lama tak buat drama… tak ada job lepas pandemik. Ziela pun tak tahu mengapa tak ada lagi rezeki untuk tahun ini. Hantar proposal ke TV3… Astro semua tak sangkut, mereka tak berkenanlah. RTM pula ada sikit masalah.

“Sekarang Ziela bersabar sajalah… anggap tak ada rezeki lagi. Sekarang ini, Ziela habiskan masa buat food review yang orang hantar, review jubah, tudung dan macam-macam lagi. Ada tawaran berlakon atau teater, Ziela buat saja. Rezeki jangan ditolak.”

Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, Ziela Jalil pernah membintangi filem antaranya, Mr Os, Perawan Malam, Ujang, Driving School, Konstabel Mamat, Harry Boy dan Rozana Cinta 87.

Beliau juga turut berlakon dalam filem-filem Indonesia seperti Tarzan Rimba (bersama Barry Prima), Pancasona, Jurus Dewa Naga dan Pendekar Mata Satu. — BebasNews

Leave a Reply