Jonathan Laidlaw QC. Foto - 2harecourt.com

KUALA LUMPUR — Tindakan menamatkan perkhidmatan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan firma guamannya oleh Datuk Seri Najib Razak dilakukan selepas permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan khidmat Queen’s Counsel (QC), Jonathan Laidlaw sebagai salah seorang peguamnya dalam rayuan akhir beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Najib mengambil keputusan tersebut selepas berbincang dengan beberapa peguam di Singapura termasuk Peguam Kanan India berhubung perkara tersebut.

“Datuk Seri Najib menyuarakan keyakinannya bahawa pasukan (pembelaan) baharu yang telah disusun akan memberikan perspektif baharu dalam pembelaan.

“Selain itu, peguam-peguam daripada pasukan pembelaan sebelum ini termasuk Muhammad Shafee akan masih lagi mewakili Najib dalam kes-kes lain,” jelas satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Terdahulu 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib atas alasan peguam paling kanan di United Kingdom itu gagal menunjukkan bahawa beliau mempunyai pengalaman dalam mengendalikan rayuan atau kes-kes sama seperti yang dihadapi oleh Najib.

Tindakan Najib menukar barisan peguamnya dilakukan kurang tiga minggu daripada tarikh pendengaran rayuan akhir yang akan bermula pada 15 Ogos ini.

Sebelum ini, sekitar pukul 11.25 pagi tadi, firma guaman, Tetuan Shafee & Co. melalui sepucuk surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan bahawa Muhammad Shafee, firma berkenaan dan seluruh pasukan pembelaan telah diberhentikan perkhidmatannya oleh Najib petang semalam.

Tanpa menyatakan sebab pemberhentian tersebut, surat tersebut turut menyatakan pihak Tetuan Shafee & Co. akan menyerahkan segala dokumen berkaitan kes tersebut kepada pasukan pembelaan baharu selewat-lewatnya petang ini.

Dalam masa sama, firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners dalam satu surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengesahkan mereka telah dilantik oleh Najib dalam rayuan akhirnya berhubung sabitan salah dan hukuman membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd..

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik pula telah dilantik sebagai peguam bela utama menggantikan Muhammad Shafee.

Rayuan akhir Najib dijadualkan untuk pendengaran selama 2 minggu bermula 15 Ogos ini.

Pada 29 April lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos iaitu pada 15 hingga 25 Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Pada 8 Disember 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib. — BebasNews

Leave a Reply