SAYA amat tertarik mengikuti Pidato Arahan Jokowi, satu ucapan Presiden Indonesia yang berupa ingatan dan peringatan di hadapan para menterinya.

Pidato yang saya ikuti itu bertajuk antisipasi (persediaan) krisis pangan (makanan), energi (tenaga) dan kewangan.

Ia adalah siri pidato, yang saya kira bukan pidato umum tetapi ucapan di hadapan para jemaah menterinya (sempena mesyuarat Kabinet di Istana Presiden pada Isnin 29 Jun lalu) untuk menerangkan mengenai situasi semasa yang harus ditangani dan dihadapi.

Apabila mengikuti pidato bapak Presiden Republik Indonesia itu, saya hampir mahu mencadangkan jemaah Kabinet Malaysia pun melakukan kaedah yang sama sebelum jemaah menteri memulakan mesyuarat Kabinet mereka setiap Rabu.

Perdana Menteri boleh memberikan amanat; peringatan; ingatan kepada jemaah menterinya berhubung permasalahan negara dan rakyat, yang kemudian disiarkan penuh kepada umum.

Dalam rapat Kabinet itu yang dikenali di Indonesia sebagai Rapat Kabinet Paripurna itu, Jokowi memulakan ucapannya berbunyi:

“Saya mahu mengingatkan kita semua bahawa kita sekarang ini tidak dalam suasana normal. Dunia tidak dalam suasana normal… krisis energi (tenaga), krisis pangan (makanan), krisis kewangan sudah mulai melanda beberapa negara.

“Ada kurang lebih 60 negara yang dalam proses menghadapi tekanan kerana hutang sehingga menekan ekonominya dan… masuk ke dalam krisis ekonomi dan kewangan negara itu. Contohnya 123 (negara) sudah mulai kelihatan.

“Inilah yang betul betul kita antisipasi, jangan sampai ada yang merasa kita masa ini masih berada dalam keadaan normal…”

Ucapan Jokowi itu yang dilakukan secara bersahaja cukup menarik apabila beliau cuba memahamkan kepada Kabinetnya dan kepada rakyat bawahan mengenai suasana keperitan ekonomi yang berlaku di negara itu.

Malah beliau menujukan ucapannya kepada menteri-menteri supaya dapat menerangkan kepada rakyat bahawa harga bahan api negara masih baik berbanding dengan negara luar.

“Kita tahu kerana krisis pangan melanda dunia, harga-harga pangan semuanya naik. Ini rakyat juga harus diberitahu… harga beras naik… tolong sering dibandingkan dengan negara-negara lain, harga gandum naik… naiknya berapa sampaikan kepada masyarakat.

“… dan yang paling mengerikan adalah ancaman kelaparan dan ancaman kemiskinan ekstrem yang mulai kelihatan di negara-negara lain…”

Beliau juga mengingatkan negara itu supaya menabung ekoran meningkatnya harga komoditi supaya dapat digunakan di saat sukar. Beliau juga mengingatkan negara itu supaya tidak menggunakan jumlah subsidi energi yang besar sehingga membebankan negara.

Mengikuti ucapan itu, saya yakin kepemimpinan tertinggi kita juga dari semasa ke semasa wajib memberi ingatan itu kepada jemaah menterinya supaya tidak alpa dengan situasi semasa sekarang.

Kita melihat bagaimana nilai wang kita menyusut berbanding dengan dolar Singapura — di saat sidang Parlimen kita sedang hiruk-pikuk menjerit sana-sini dalam dewan yang mulia itu.

Saya kebetulan berada di Dewan Rakyat beberapa hari lalu semasa salah satu rang undang-undang sedang dibentangkan dan menyaksikan wakil-wakil rakyat “yang kita pilih” terlolong-lolong sana-sini bagaikan orang tidak waras.

Melihatkan perdebatan di Parlimen kita itu, saya tertanya-tanya adakah ini kualiti wakil rakyat kita?

Sayang sekali, kualiti mereka amat tidak matang berbanding dengan rakan-rakan mereka di negara jiran.

Bagi saya yang pernah membuat liputan Parlimen satu ketika dahulu, bukan itu caranya wakil-wakil rakyat itu bertabiat, dalam suasana rakyat sedang menghadapi pelbagai kesukaran sekarang.

Rakyat keseluruhannya mahukan negara ini terus maju, dan bukannya dengan mempamerkan dalam Parlimen, gelagat kejaguhan anda yang tidak matang itu.

Di saat sukar ini, pihak pembangkang terutamanya harus membantu menyelesaikan masalah; bukannya asyik mencari masalah.

— BebasNews

Leave a Reply